Ekoran gurauan yang disifatkan tidak sensitif berhubung status duda pelawak Shuib pada siaran langsung Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021), Ahad lepas, pelakon Datuk Rosyam Nor menerima kecaman hebat netizen yang menganggap jenaka tersebut tidak sensitif.
Namun, Rosyam tampil beri penjelasan bahawa semua yang berlaku di atas pentas pada hari berkenaan telah pun dirancang.
Semuanya ada dalam skrip
Memetik laporan Kosmo!, pemilik nama lengkap Mohamed Noor Shamsuddin itu berkata, apa yang berlaku antara dia dan Shuib merupakan gurauan yang telah dirancang terlebih dahulu bersama Shuib, dan dia tidak melontarkan soalan tersebut kepada Shuib dengan niat menjatuhkan maruahnya pelawak tersebut.
Itu semua gurauan terancang. Apa yang berlaku antara saya dan Shuib, semuanya telah ada dalam skrip.
Saya ingin mengatakan apa yang dilontarkan dan kemudian dipertontonkan kepada masyarakat pada malam itu adalah satu gurauan yang telah dirancang bersama Shuib.
Shuib tahu apa yang ingin saya tanyakan.
Tambah Rosyam lagi, hubungan baik dengan Shuib sedikit pun tidak terjejas usai sama-sama melunaskan tanggungjawab sebagai penyampai anugerah pada acara Anugerah MeleTOP Era 2022 (AME 2022).
Selepas kami sampaikan anugerah, kami siap melepak dan bergurau di pentas belakang. Memang tiada apa yang perlu digembar-gemburkan tapi biasalah, netizen akan mencari silap untuk dijadikan bahan bualan di media sosial.
Orang yang kenal saya, tahu saya orangnya macam mana. Bagaimana saya bergurau dan bila waktunya saya serius.
Sementara itu, Shuib yang dihubungi berkata, dia langsung tidak mengambil hati tentang isu yang disensasikan dalam media sosial dan mengakui amat menghormati Rosyam sebagai seniman senior. Tambah Shuib, dia sangat mengenali hati budi Rosyam.
Sumber: Kosmo!