
Hanya dalam tempoh dua hari selepas dilancarkan, lagu ‘Ku Yang Berjuang’ nyanyian Danial Kifli terus mencuri perhatian apabila berjaya menembusi carta trending serta menjadi tular di pelbagai platform media sosial.
Artikel Berkaitan: Danial Kifli Tak Suka Guna Gimik Murahan, Yakin Dengan Bakat Dimiliki – ‘Saya Nak Bermula Dari Bawah’
Bangun koma ditinggal

Namun, di sebalik kejayaan karya tersebut, tersimpan kisah sebenar yang cukup berat daripada komposer lagu itu iaitu Jal Arya yang menjadikan pengalaman hidupnya sebagai sumber inspirasi utama penulisan lagu berkenaan.
Jal Arya berkongsi detik paling gelap dalam hidupnya apabila terlibat dalam kemalangan tragis sehingga menyebabkan dia koma dan berada dalam keadaan kritikal.
Saya koma disebabkan kemalangan. Doktor beritahu yang saya tiada harapan untuk hidup. Namun, alhamdulillah, kuasa Allah saya masih hidup sehingga sekarang.
Apabila saya sudah sedar dari koma, saya cari dia, tapi dia sudah tiada. Dia block semua sosial media dan nombor telefon, dia hilang… Dia pergi waktu saya nazak…
Kata-kata itu bukan sekadar luahan, tetapi menggambarkan betapa beratnya ujian yang terpaksa ditanggung apabila bukan sahaja berjuang antara hidup dan mati, malah kehilangan insan yang paling dipercayai.
Menurut Jal Arya, pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi emosi dan mental apabila perlu menerima hakikat kehilangan tanpa sebarang penjelasan.
Daripada episod penuh luka itulah lahirnya ‘Ku Yang Berjuang’, sebuah karya yang jujur, menggambarkan realiti tentang jatuh, kehilangan dan usaha untuk bangkit semula walaupun dalam keadaan paling sukar.
Lagu ini turut diperkukuhkan dengan penyampaian vokal penuh emosi oleh Danial Kifli yang berjaya menghidupkan setiap bait lirik dengan kejujuran, menjadikan ‘Ku Yang Berjuang’ lebih dekat di hati pendengar.
Sejak dilancarkan, ‘Ku Yang Berjuang’ menerima sambutan luar biasa di media sosial khususnya di TikTok apabila ramai pendengar mula mengaitkan lagu tersebut dengan perjalanan hidup masing-masing.
Momentum itu sekali gus melonjakkan lagu berkenaan ke tangga top 3 trending hanya dalam tempoh dua hari selepas pelancaran.
‘Ku Yang Berjuang’ kini boleh distrim di semua platform digital, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di YouTube.








