
Penduduk Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor menerima berita gembira apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu mengumumkan peruntukan keseluruhan RM700,000 menerusi Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI.
Majlis perasmian yang berlangsung di Dewan MPKK Padang Menora itu menyaksikan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan dan kesejahteraan komuniti Kampung Guar Petai sebagai Kampung Angkat MADANI.

Dalam masa sama, Sekolah Kebangsaan Padang Menora turut menerima RM100,000 di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI untuk meningkatkan kemudahan dan pembangunan pendidikan sekolah berkenaan.

Bukan itu sahaja, KPKM juga menyediakan tambahan RM100,000 lagi untuk pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian bagi memperkasa pelajar dengan kemahiran pertanian moden.

“Pembangunan jangan hanya cantik di bandar”

Dalam ucapannya, Mohamad berkata pembangunan negara perlu dirasai secara adil termasuk oleh rakyat di kawasan luar bandar yang menjadi tulang belakang keterjaminan makanan negara.
“Jangan lampu hanya terang di bandar, bangunan tinggi di Kuala Lumpur, tetapi kampung masih gelap, jalan masih pecah, parit masih tersumbat, sekolah masih perlu dibaiki. Itu bukan pembangunan yang adil.”

Menurut beliau, Kerajaan MADANI mahu memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di bandar semata-mata, sebaliknya turut memberi limpahan kemudahan dan peluang ekonomi kepada kampung-kampung.
“Kerajaan MADANI hari ini cuba bawa pendekatan yang jelas — kita mahu menaikkan lantai kehidupan rakyat.”
Beliau turut menjelaskan Program Kampung Angkat MADANI bukan sekadar program simbolik atau ‘letak papan tanda dan ambil gambar’, tetapi perlu memberi kesan sebenar kepada rakyat.
“Kalau jalan rosak, kita tengok. Kalau kemudahan awam perlu dibaiki, kita usahakan. Kalau komuniti perlu dibantu, kita bantu. Kalau anak muda perlukan latihan, kita buka peluang.”

Pertanian moden bukan lagi kerja ‘orang lama’
Dalam majlis sama, Mohamad turut menekankan bahawa sektor pertanian kini semakin moden, berteknologi tinggi dan mempunyai potensi besar untuk diceburi golongan muda.
Katanya, pertanian hari ini bukan lagi sekadar menggunakan cangkul dan parang, sebaliknya melibatkan teknologi seperti dron, fertigasi, automasi, sistem pengairan moden serta pemasaran digital.
“Dulu orang kata, ‘Belajar rajin-rajin, jangan jadi petani.’ Hari ini kita kena ubah ayat itu. Kita kata, ‘Belajar rajin-rajin, jadilah petani moden yang berjaya.’”
Tambah beliau lagi, petani moden juga mampu menjadi usahawan berjaya, mengeksport produk dan menjana pendapatan yang baik.

Mohamad dalam masa sama mengingatkan masyarakat supaya menghargai golongan petani, pesawah, nelayan dan penternak yang menjadi asas kepada keselamatan makanan negara.
“Kita tahu beras tidak tumbuh di pasar raya. Sayur tidak tumbuh dalam troli. Ikan tidak lahir dalam peti sejuk.”
Beliau berkata, ramai yang mungkin marah apabila harga barang naik, namun terlupa terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi golongan pengeluar makanan termasuk kenaikan kos baja, makanan ternakan dan pengangkutan.
Kerajaan pantau bekalan makanan negara

Mengulas situasi global semasa, beliau berkata kerajaan sentiasa memantau isu keterjaminan makanan susulan ketidaktentuan ekonomi dunia, konflik antarabangsa serta gangguan rantaian bekalan global.
Menurut beliau, Malaysia masih bergantung kepada import bagi sebahagian bahan makanan dan input pertanian seperti jagung dan soya untuk makanan ternakan.
Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bekalan makanan utama negara ketika ini masih berada pada tahap stabil.
“Stok penimbal beras negara berada sekitar 300,000 tan. Bekalan ayam dan telur juga berada pada tahap sara diri yang baik.”
Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat supaya berjimat cermat, mengelakkan pembaziran makanan dan tidak melakukan pembelian panik.
“Kadang-kadang bila dengar khabar angin beras kurang, semua orang pergi kedai beli lima kampit, sepuluh kampit.”
Jualan Agro MADANI tawar diskaun sehingga 30%
Program tersebut turut dimeriahkan dengan kenduri rakyat serta penganjuran Jualan Agro MADANI (JAM) hasil kerjasama agensi di bawah KPKM seperti Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuandan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Menerusi jualan itu, orang ramai menikmati potongan harga sehingga 30% selain melibatkan penyertaan usahawan tempatan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.

Selain itu, Agrobank turut menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM20,000 kepada golongan memerlukan di kawasan tersebut.

Tidak ketinggalan, Jabatan Pertanian Malaysia turut mengagihkan sebanyak 500 anak pokok kepada komuniti Kampung Guar Petai bagi menggalakkan aktiviti pertanian dan tanaman makanan di rumah.

Mohamad turut menggalakkan rakyat menanam sendiri bahan makanan di rumah walaupun hanya mempunyai ruang kecil.
“Kalau ada tanah sekangkang kera pun, tanamlah sesuatu. Tanam cili, tanam serai, tanam kunyit, tanam pandan, tanam sayur. Jangan semua benda hendak beli.”
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Mahfuz Omar serta Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim.








