
Ramai yang tidak tahu, sekiranya jenazah wanita mempunyai rambut yang panjang, rambut tersebut perlu diuruskan dengan kemas dan betul.
Artikel Berkaitan: Bolehkah Jenazah Dikafankan Dengan Kain Selain Putih? Ini Penjelasannya
Artikel Berkaitan: Mohd Izhar Kongsi Pandangan Beli Set Kain Kafan Mahal – ‘Ikut Situasi, Kalau Tujuan Riak Hukumnya Haram’
Anyam rambut jenazah
Untuk pengetahuan, cara menguruskan rambut jenazah adalah perlu dengan penuh nilai ihsan kerana setiap helaian rambut yang dirapikan adalah salah satu bentuk penghormatan terakhir yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya.
Menerusi perkongsian Ustaz Rafie Zainal dari Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), amalan menganyam rambut jenazah wanita kepada tiga bahagian selepas dimandikan merupakan satu sunnah yang thabit berdasarkan hadis sahih serta dihuraikan oleh para ulama dalam kitab-kitab fiqh.
1. Dalil hadis sahih
Perkara ini bersandarkan kepada hadis Ummu ‘Atiyyah R.A ketika memandikan jenazah puteri Rasulullah SAW (Zainab r.a):
قَالَتۡ أُمُّ عَطِيَّةَ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهَا: فَضَفَرۡنَا شَعَرَهَا ثَلَاثَةَ قُرُونٖ، فَأَلۡقَيۡنَاهَا خَلۡفَهَا
“Kami menganyam rambutnya menjadi tiga bahagian, kemudian kami meletakkannya ke belakang.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjadi asas utama dalam menentukan cara pengurusan rambut jenazah wanita menurut sunnah.
2. Penjelasan Maksud “Tiga Bahagian (ثلاثة قرون)”
Para ulama menghuraikan bahawa:
(“ثلاثة قرون” bermaksud tiga tocang (anyaman
Pembahagian tersebut biasanya:
- satu bahagian tengah (ubun-ubun)
- satu bahagian kiri
- satu bahagian kanan
Ini dijelaskan dalam syarah hadis oleh ulama seperti Imam al-Nawawi dan fuqaha Syafi‘iyyah bahawa ia adalah bentuk pengurusan rambut yang paling sempurna dan kemas.
3. Kedudukan Hukum dalam Mazhab
Menurut jumhur ulama:
Mazhab Syafi‘i & Hanbali, menganyam rambut kepada tiga bahagian adalah sunnah (mustahabb).
Tujuan amalan ini adalah untuk menjaga kekemasan rambut, mengelakkan rambut terurai ketika dikafan, memelihara maruah dan kehormatan jenazah wanita
Dan jika rambut pendek, tidak perlu dipaksa, memadai dirapikan sahaja.
4. Cara Melaksanakan Anyaman
Secara praktikal:
- Sisir rambut dengan lembut
- Bahagikan kepada tiga bahagian (kiri, tengah, kanan)
- Anyam setiap bahagian seperti tocang biasa
- Letakkan hasil anyaman tersebut ke bahagian belakang kepala
Ini selari dengan lafaz hadis:
“فَأَلْقَيْنَاهَا خَلْفَهَا”
(“…kami meletakkannya ke belakang”)
5. Kedudukan Rambut Selepas Dianyam
Sunnah: diletakkan di belakang kepala / belakang badan jenazah
Ini adalah amalan yang lebih kuat berdasarkan hadis.
Sebahagian pandangan lain (seperti mazhab Hanafi) menyebut boleh diletakkan di dada, namun yang lebih bertepatan dengan sunnah ialah ke belakang.
6. Peringatan Penting
Amalan ini khusus untuk jenazah wanita
Jenazah lelaki, tidak disunnahkan anyaman dan memadai dirapikan sahaja
Kesimpulan
Menganyam rambut jenazah wanita kepada tiga bahagian adalah amalan sunnah yang sahih, berasaskan hadis Nabi SAW dan diamalkan oleh para sahabat.
Ia mencerminkan kesempurnaan adab dalam pengurusan jenazah yang menitikberatkan ihsan, kemuliaan dan penghormatan terakhir kepada si mati.
Sumber: Facebook







