Di Facebook, Ahli Parlimen Kuantan (PAS), Wan Razali Wan Nor membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya yang didakwa mengkritik pembabitan penyanyi, Baby Shima yang memeriahkan program Hari Bandaraya Mesra komuniti di Sungai Isap Damai Kuantan pada 18 Februari lalu.
Percaya penampilan sesuai dengan tatasusila
Menurut Wan Razali, kehadiran Baby Shima pada acara itu tidak seperti yang digambarkan banyak pihak sehingga mendesak agar pembabitan penyanyi itu dibatalkan.
Pada 18 Februari, Baby Shima hadir dalam program terbabit dan membuat persembahan menyanyikan beberapa lagu serta berselawat dengan penampilan sopan dan menutup aurat.
Saya percaya penampilan terbabit adalah sesuai dengan tatasusila setempat dan boleh diterima oleh masyarakat sekitar.
Penampilan terbabit sekali gus menjawab kekhilafan orang ramai sebelum persembahan itu. Dengan ini saya memohon maaf di atas kekhilafan terbabit.
Susulan itu, Razali memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.
Dengan ini saya memohon maaf di atas kekhilafan terbabit dan menarik balik kenyataan pada hantaran saya yang disiarkan pada 17 Februari lalu.
Permohonan maaf ini dibuat tanpa syarat dan saya berjanji untuk tidak mengulanginya.
Sementara itu, Baby Shima menerusi satu posting terbaru di Instagram meluahkan rasa syukur apabila segala kebenaran berpihak kepadanya.
Alhamdulillah, kebenaran akhirnya berpihak pada Shima. Moga menjadi peringatan kepada semua untuk lebih berhati-hati apabila berkata-kata.
Sumber: Facebook