Siapa tidak kenal dengan Datin Alyah kan? Selain bergelar penyanyi, Alyah juga merupakan isteri kepada maestro muzik Datuk Ramli MS atau Tok Ram.
Rutin harian terhad
Alyah mengakui ruang masa bersama Tok Ram menjadi terhad apabila program Gegar Vaganza (GV) mula bersiaran langsung. Sudah faham, Alyah, 40, berkata dia sudah terbiasa dengan situasi berkenaan memandangkan itu adalah acara tahunan Tok Ram.
Malah, kata Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, anak saudara mereka yang sering meluangkan masa di rumah turut faham dengan kesibukan Tok Ram dalam mencari rezeki.
Jujurnya tiap kali tiba ‘musim’ GV, memang rutin seharian kami jadi agak berbeza. Jarang dapat makan luar sama-sama. Iyelah, kata orang ia acara tahunan. Jadi jadual Tok Ram agak padat sebab bermula Selasa, dia akan sibuk untuk persiapan konsert minggu seterusnya.
Saya sedia maklum dengan situasi itu. Malah Aqil (anak saudara) yang sering isi masa bersama kami pun sudah faham. Bila ada sahaja iklan GV di kaca TV, dia akan cakap ‘uncle’ sibuk, tak boleh bawa jalan-jalan. Untuk ubati rasa rindu, mereka akan ‘video call’.
Tapi saya percaya bukan Tok Ram saja yang sibuk, artis bertanding dan produksi pun turut sama beri komitmen yang tinggi. Masing-masing cari rezeki.
Alyah ditemui pada majlis memerterai perjanjian dengan Kamya Glow di Bukit Jelutong, Selangor, pada Jumaat.
Perjanjian itu sebagai satu langkah mengembangkan kolaborasi perniagaan Alyah bersama Kamya Glow di dalam bidang kecantikan dan kesihatan.
Majlis itu turut melancarkan kempen Mencari Wajah Kamya yang mana 30 pengguna baik lelaki atau wanita akan dipilih untuk menggunakan produk berkenaan selama sebulan secara percuma.
Saya bukan penyanyi viral
Bercerita mengenai perjalanan karier seni, anak kelahiran negeri Johor ini berasa terharu apabila lagu Thank You Allah kekal menjadi pilihan pendengar pelbagai peringkat usia.
Rasa bersyukur sangatlah… pada usia 40 tahun begini, kanak-kanak sampailah orang dewasa sukakan lagu kerohanian seperti itu. Ada yang kongsi di media sosial dan sebagainya. Terkejut juga saya. Saya tidaklah penyanyi viral sana sini.
Tapi bagi saya itu rahmat paling besar dariNya. Hakikat itu menjadi perkara terawal yang saya fikir apabila lagu tersebut cepat menangkap halwa telinga pendengar.
Sumber: Instagram @alyah81