berita

‘Jika Didera Lebih Lama, Mungkin Anak Awak Boleh Meninggal Dunia’ – Wanita & Rakan Tomboy Dipenjara 14 Tahun

November 1st, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Foto: Harian Metro

Beberapa bulan yang lalu tularnya kes dera melibatkan seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya sehingga mendatangkan kecederaan parah pada bahagian badan seorang kanak-kanak lelaki yang masih berusia tujuh tahun.

Terbaharu, kedua suspek telah pun dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Johor.

Artikel Berkaitan: Jiran Serbu Rumah..Wanita & ‘Tomboy’ Kantoi Dera Anak 7 Tahun Sampai Melepuh Satu Badan

Hakim sebak jatuhkan hukuman

Wanita Dera Anak Dijatuhi Hukuman 14 Tahun

Gambar sekadar hiasan

Memetik laporan Harian Metro, hukuman tersebut dijatuhkan terhadap suspek yang merupakan ibu tunggal berusia 27 tahun serta rakan serumahnya yang dikenali sebagai Awiin Chua, 30 oleh Hakim VM Mabel Sheela.

Ketika memutuskan hukuman, Mabel Sheela dilaporkan sebak mengenangkan penderitaan yang perlu dihadapi kanak-kanak tersebut sepanjang tempoh didera kedua suspek.

Pertalian ibu dan anak adalah sangat istimewa, kalau awak (merujuk kepada ibu mangsa) tanya anak adakah dia mahu mengikut awak, pasti dia akan mahu ikut, walaupun tahu akan merasa sakit.

Mahkamah tidak boleh membayangkan keadaan mangsa jika keadaan berlarutan lebih lama dan tidak dibantu orang awam, pastinya mangsa akan meninggal dunia.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir yang mengendalikan pendakwaan kes memaklumkan bahawa terdapat lebih 20 kecederaan fizikal terdapat di tubuh mangsa berdasarkan hasil pemeriksaan yang dibuat oleh pakar perubatan.

Difahamkan, mangsa telah didera selama sebulan oleh kedua tertuduh di mana pada waktu itu mereka mempunyai penjagaan terhadap mangsa kerana tinggal bersama mereka.

Kekerapan setiap hari sejak 1 Julai hingga 9 Ogos berdasarkan pengesahan luka lama dan baru serta parut tubuh badan mangsa dalam laporan perubatan.

Mangsa bukan saja dipukul tetapi turut diabaikan dengan meninggalkan mangsa keseorangan, dikunci di rumah tanpa makanan serta tidak menghalang atau menyelamatkan mangsa apabila dipukul.

Selepas mengambil kira penghujahan yang dibuat pihak pendakwaan, Mabel Sheela menetapkan tertuduh dipenjara tujuh tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua yang menjadikan jumlah tempoh keseluruhan hukuman penjara sebanyak 14 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal dengan niat.

Manakala mereka didakwa mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kedua ibu tunggal itu ketika mangsa di bawah pemeliharaan mereka dengan mencapai niat bersama bagi pertuduhan kedua.

Pendakwaan tersebut dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Terdahulu, tularnya video memaparkan seorang kanak-kanak yang diselamatkan kejiranannya selepas dipercayai didera oleh dua orang wanita termasuklah ibunya sendiri.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi dari wargamaya selepas melihat kecederaan yang agak teruk di bahagian belakang badan mangsa.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×