berita

‘Jika Mereka Perlukan Khidmat Saya, Saya Sentiasa Terbuka Untuk Bekerjasama’ – Izzue Islam

February 9th, 2024 | by Amirul Asraf
OB Eksklusif

Umum mengetahui, kumpulan Forteen telah mengeluarkan lagu baru yang berjudul ‘Noktah Epilog Cinta’ bersama Izzue Islam.

Lagu hasil kolaborasi antara KRU Music & Alternate Records untuk OST Drama “Keturunan” itu ternyata mengukir senyuman di wajah peminat kumpulan tersebut berikutan hampir enam tahun mereka menyepi.

Artikel Berkaitan: ‘Kami Hubungi Izzue & Berbincang Secara Baik’ – One Forteen

Rezeki dan hadiah buat peminat

Menerusi temu bual bersama OhBulan! Izzue sempat berkongsi bagaimana dia boleh menerima tawaran untuk berkolaborasi dengan Forteen.

Menurut Izzue, pihak KRU, Alternate dan Forteen sendiri yang melamarnya untuk projek ini. Tambahnya lagi, dia menganggap tawaran ini sebagai rezeki dan hadiah untuk diberikan kepada peminat.

Lagu ini adalah hasil kolaborasi antara KRU Music & Alternate Records untuk OST Drama ‘Keturunan’ yang bakal ditayangkan selepas raya nanti di TV3. Jadi pihak KRU, Alternate & Forteen sendiri melamar saya untuk menyanyi bersama dalam special projek ni. Ini rezeki dan juga hadiah buat semua yang merindui kemunculan Izzue bersama Forteen.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam bin Mazlan turut meluahkan rasa terharu apabila lagu Noktah Epilog Cinta mendapat sambutan yang baik daripada peminat terutama di Youtube.

Sudah tentu saya teruja dan bersyukur kerana lagu dan kemunculan saya bersama Forteen ini diterima baik daripada semua pendengar dan juga peminat.

Disoal sama ada akan terus berkolaborasi dengan Forteen ataupun tidak demi peminat, Izzue menjawab ‘kalau ada rezeki apa salahnya’.

Berbicara lebih lanjut, Izzue memberitahu dia berasa seronok apabila berpeluang merakamkan lagu tersebut bersama Forteen.

Perasaan bila masuk studio semula bersama One, Ariz dan Ameer sudah tentu seronok. Kalau nak cerita pasal kenangan, saya tak perlu imbau sebab memori bersama Forteen dari dulu sentiasa segar dalam ingatan saya walaupun saya sudah keluar dari kumpulan tersebut.

Kalau ditanya mengenai chemistry, saya akan jawab senang. Sebab kami jumpa dan berhubung antara satu sama lain.

Terbuka untuk berkerjasama

OhBulan! sempat bertanya kepada Izzue mengenai air mata yang mengalir ketika menjayakan muzik video ‘Noktah Epilog Cinta’.

Jelas Izzue, air mata itu adalah emosi kepada melodi dan lirik lagu itu sendiri yang menceritakan tentang sesorang yang telah mencuba 1000 cara untuk bersama tetapi harus menerima takdir perpisahan.

Diusik pula soalan mengenai showcase dan konsert bersama Forteen sekiranya bakal diadakan nanti, Izzue berkata, dia terbuka untuk bekerjasama dengan kumpulan tersebut sekiranya mereka memerlukan khidmatnya.

Jika mereka perlukan khidmat saya, saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama. Buat peminat, teruskan menyokong Forteen dan terima kasih kerana dengarkan lagu terbaru kolaborasi Forteen bersama saya.

Di akhir temu bual, Izzue berkongsi mengenai perkembangan kariernya untuk tahun ini.

Tahun 2024 merupakan permulaan tahun yang baik buat saya. Selain mengeluarkan single bersama Forteen, saya juga telah kembali dalam Muzik-Muzik musim terbaru iaitu Muzik-Muzik 39 yang bersiaran setiap Ahad jam 12.00 tengah hari di tv3.

Selain daripada itu, drama terbaru lakonan saya bertajuk Rindu Kasih 2 juga akan mula menemui peminat bermula 13 Febuari ini, setiap Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam di TV3.

Pada 14 Februari ini juga, korang boleh layan telefilm Detik lakonan saya yang akan disiarkan di Tonton. Saya juga ada buat kemunculan dalam filem Waruga yang akan mula ditayangkan di pawagam pada 15 Februari ini. Ada lagi beberapa projek drama dan telefilm yang masih dalam pembikinan.

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×