
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan bahawa tempoh sah laku maksimum Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) ditetapkan selama 10 tahun berkuat kuasa serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan dalam urusan perjalanan antarabangsa.
Artikel Berkaitan: Pasport Baharu Malaysia Kini Dikeluarkan, Dilengkapi 94 Ciri Keselamatan & Sukar Dipalsukan
Pasport

Menerusi kenyataan yang dikongsi, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata penetapan itu dibuat selepas tular isu membabitkan beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun menghadapi masalah ketika melakukan perjalanan ke luar negara.
Katanya, JIM sebelum ini sudah merujuk perkara itu kepada International Civil Aviation Organization (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun.
Bagaimanapun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.
Bagi menangani kekeliruan ini, Imigresen menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja.
Menjelaskan lebih lanjut, Zakaria berkata penetapan itu bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.
Jelasnya, susulan penetapan itu, JIM menghentikan sementara pengeluaran PMA yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun sehingga isu berkenaan diselesaikan bersama syarikat penerbangan dan ICAO.
Pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.
Pemegang PMA yang terlibat juga akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.
Jabatan akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara.
Tambahnya, JIM komited memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.
Sumber: Facebook






![[VIDEO] Khairul Aming Bagi ‘Tips’ Kurus, Mohon Jangan Stres ‘Cut’ Makan – ‘Ambil Yang Kita Boleh Konsisten’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/KA-25.jpg)

