Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mula mengeluarkan pasport Malaysia versi baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan terkini bagi memperkukuhkan perlindungan dokumen perjalanan negara.

Artikel Berkaitan: Pasport Hilang Atau Rosak Ketika Bercuti Di Luar Negara? Jangan Panik! Ini Cara Selamat Pulang Ke Malaysia

Pasport baharu

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan, penambahbaikan itu dilakukan bagi memastikan pasport Malaysia lebih sukar dipalsukan, selain memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang sentiasa dipertingkatkan.

Pasport baharu berkenaan turut menampilkan reka bentuk yang lebih moden dengan elemen grafik bertemakan identiti Malaysia, termasuk paparan flora, fauna serta mercu tanda ikonik negara.

Menurut Zakaria, antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah penggunaan teknologi keselamatan canggih pada halaman biodata dan setiap helaian pasport, sekali gus meningkatkan tahap ketulenan dokumen tersebut.

Walaupun tampil dengan wajah baharu, semua pasport sedia ada yang masih dalam tempoh sah tetap boleh digunakan sehingga tarikh luput dan tidak perlu diganti.

JIM turut menjelaskan proses permohonan dan pembaharuan pasport kekal seperti biasa di semua pejabat imigresen serta menerusi platform dalam talian yang disediakan.

Pengenalan pasport baharu itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan aspek keselamatan dokumen perjalanan negara, selain memastikan pasport Malaysia terus diiktiraf serta memenuhi standard keselamatan di peringkat antarabangsa.

Sumber: Berita Harian