berita

Jimmy Palikat Bakal Tampilkan Single Baru, “Aku Datang KL”

September 6th, 2012 | by Ai
Kini Trending

OHBULAN! rasa, lagu “Anak Kampung” nyanyian Jimmy Palikat dan di’remix’kan kembali bersama One Nation Emcees (ONE) pasti sudah sebati dengan telinga anda kan? Boleh dikatakan tiap hari lagu yang asalnya dari Sabah ini dimainkan di corong-corong radio tempatan.

Menyentuh mengenai isu ini, pasti ramai yang masih belum tahu siapakah sebenarnya Jimmy Palikat ini, kan? Sebagai seorang penyanyi yang berasal dari Sabah, Jimmy Palikat mula menceburi industri nyanyian pada tahun 2002. Dia kemudiannya menghasilkan album pertamanya namun tiada sambutan yang diberikan.

Namun begitu, tahun 2010 telah menjadi tahun yang bertuah kepada penyanyi berumur 34 tahun ini. Lagu versi asal “Tanak Kampung” yang dinyanyikan didalam bahasa Dusun telah menjadi ikutan ramai di Sabah dan kemudian lagu terjemahannya dalam bahasa Melayu pula telah menjadi perhatian di Semenanjung pada tahun 2011.

“Minda orang sekarang sudah terbuka, mereka sudah boleh terima lagu dalam apa-apa bahasa pun. Kalau dulu, lagu Dusun hanya dimainkan di radio-radio Dusun sahaja, kini sudah ada sedikit kelainan,” ujar Jimmy Palikat memulakan perbualan.

Jimmy turut memberitahu walaupun selalu berulang-alik ke Semenanjung dari Sabah, dia masih belum mengenal habis lagi mengenai industri hiburan disini.

Selain itu, bapa kepada 5 orang anak ini turut memberitahu bahawa dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul “Aku Datang KL”. Single terbaru ini adalah kesinambungan dari lagu ‘Anak Kampung” dan turut menceritakan mengenai perjalanan dirinya.

“Single saya yang akan datang ini (Aku Datang KL) kemungkinan besar tidaklah sehebat “Anak Kampung”. Namun harapan saya agar peminat akan terus sokong dan lagu akan terus dimainkan di radio tempatan,” jelas Jimmy.

Ditanya jika One Nation Emcees adalah punca namanya semakin meningkat popular, pantas Jimmy menjawab, “Tanpa kerjasama, siapalah kita.

“Apa pun, ONE memang pilihan yang tepat sebab 2 orang ahli ONE juga adalah orang Sabah. Mereka tahu dan faham maksud didalam lagu ini.”

Jimmy Palikat kini bernaung dibawah Nova Music dengan kontrak selama 3 tahun.