berita

‘Saya Tak Pernah Solat Kira-Kira 20 Tahun Lalu’ – Kisah Hijrah Jojo One Nation Emcees

November 11th, 2019 | by Arini Saleh
Kini Trending

Sebagai seorang manusia, kita tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Apa yang penting, kita hendaklah segera kembali ke pangkal jalan dan bertaubat dengan dosa yang telah dilakukan.

Memetik laporan Media Hiburan, ahli kumpulan One Nation Emcees, Jojo mengakui tidak pernah solat kira-kira 20 tahun yang lalu. Namun beberapa tahun kebelakangan ini, dia dilihat sudah mula melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan.

‘Saya tak pernah sembahyang’

Jelas Jojo lagi, dari awal penglibatan dalam dunia seni dia mengakui sering membelakangkan soal agama.

Dulu saya akui saya agak jahil mengenai agama, banyak benda yang saya tinggal dan hanya ingat soal dunia. Sehinggalah Allah turunkan hidayah saya belajar bahawa kalau nak kejarkan dunia, kita kena ada agama.

Jadi bila saya berhijrah kira-kira dua tiga tahun lalu, saya cuba tingkatkan ilmu agama. Saya tidak pernah sembahyang.. Tak pernah solat kira-kira 20 tahun lalu. Ketika kecil saya hanya solat Jumaat sahaja.

Katanya, dia pernah bermimpi didatangi seorang individu yang wajahnya bercahaya dan dia memberitahu namanya Muhammad. Di dalam mimpi tersebut, dia bawa ke sebuah perigi, diberi minum air dan bunga.

Terfikir apa rasanya bila orang solat?

Di dalam mimpi itu, dia sempat membaca al-Quran dengan sangat lancar sebelum membuka pintu dan melihat ramai lelaki berjubah mengajaknya solat.

Sejak dari itu, hatinya tergerak untuk berubah dan menjadi Muslim yang lebih baik.

Bayangkan ketika itu, masjid di sebelah rumah pun saya tak nampak. Bila saya berhijrah, masyaAllah ada surau berdekatan dengan rumah. Bayangkan betapa gelapnya hati saya ketika itu.

Jadi bila saya nak belajar, ketika itu saya terfikir apa rasanya bila orang solat. Orang kata bila solat itu lahirnya nikmat, saya mahu nikmati rasa itu. Pada awalnya saya nak belajar solat Subuh, saya belajar sendiri. Tengok Google dan saya berjaga dan tak tidur.

Bermula dari Subuh di masjid

Menurut Jojo yang mempelajari agama dari pelajar Timur Tengah, dia mula solat dari satu waktu ke waktu yang lain sehinggalah istiqamah selama dua minggu.

Bermula dari Subuh saya ke masjid, kemudian dari situlah saya istiqamah selama dua minggu, tanpa henti dan tiba-tiba dia bagi saya hidayah untuk solat Isyak dan Maghrib di surau yang sama.

Kemudian Allah bagi ilham lagi, rasa seronok dan saya belajar pula Asar dan Zuhur. Kalau dulu saya tidur sampai petang. Kali ini bila rasa nak belajar tu, saya cuba. Alang-alang saya cubalah sempurnakan lima waktu.

Dan sehingga kini, Jojo perlahan-lahan mempelajari solat sunat dan belajar al-Quran.

Sumber : Media Hiburan , Street Dakwah Writer – Ali Russia

The following two tabs change content below.