Jaguh Muay Thai Negara, Johan Ghazali memilih untuk tidak memutuskan kerjasama dengan jenama penjagaan diri dari Indonesia, Kahf, meskipun syarikat itu kini terpalit kontroversi susulan hantaran menyindir Malaysia.

Artikel Berkaitan: Netizen Malaysia Pakat Boikot Produk Kahf, Ada Yang Dah Beli Sanggup Buang

Semua buat silap

Johan atau mesra disapa Jojo, 19, berkata setiap individu mahupun pihak tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan perkara paling penting adalah kesediaan untuk mengakui kesalahan serta memohon maaf.

Sudah tentu pasukan Kahf melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya, tetapi kita semua melakukan kesilapan. Selagi mereka memohon maaf, saya tidak mempunyai masalah dengan perkara itu.

Berkongsi pengalaman sepanjang menjalinkan kerjasama dengan Kahf, Jojo berkata dia tidak pernah berdepan sebarang masalah dengan jenama berkenaan.

Justeru, dia secara peribadi masih melihat Kahf sebagai jenama yang wajar diberikan sokongan, namun menyerahkan keputusan tersebut kepada orang ramai.

Saya secara peribadi masih berpendapat Kahf merupakan jenama yang wajar disokong, tetapi terpulang kepada anda semua untuk membuat keputusan. Sepanjang saya bekerjasama dengan mereka, saya tidak pernah mempunyai sebarang masalah.

Dalam pada itu, Jojo turut berseloroh dengan berkata dia sendiri pernah melakukan perkara yang lebih luar biasa, namun tidak pernah dipulaukan oleh pihak Kahf.

Saya pernah berkata dan melakukan perkara yang jauh lebih luar biasa daripada ini dan mereka tidak pernah memboikot saya.

Saya tetap setia bersama Kahf. Kita semua melakukan kesilapan. Selagi kita memohon maaf, kita boleh terus melangkah ke hadapan. Perkara ini sebenarnya bukanlah isu yang terlalu besar. Bertenanglah semua.

Terdahulu, Kahf mencetuskan kontroversi selepas memuat naik satu hantaran menggunakan frasa “beda level” yang membandingkan Indonesia dengan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Susulan kecaman yang diterima, Kahf kemudian tampil memohon maaf dan mengakui hantaran tersebut tidak mencerminkan nilai serta pendirian jenama berkenaan. Bagaimanapun, segelintir netizen Malaysia bertegas mahu memboikot jenama itu.

Sumber: Threads