Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali mengakui polemik yang sedang hangat diperkatakan membabitkan dirinya dengan seorang usahawan telah membuka matanya untuk menilai siapa yang benar ikhlas berkawan dengannya.

Artikel Berkaitan: Jojo Ghazali Tetap Positif, Janji Kembali Lebih Kuat – ‘Saya Dah Buat Yang Terbaik & Serahkan Selebihnya Pada Allah’

Kawan sebenar

Menerusi hantaran di Instagram Story, Johan atau lebih mesra disapa Jojo, 19, berkata situasi yang berlaku ketika ini membuatnya mengenali individu yang betul-betul menyokongnya berbanding mereka yang hanya hadir ketika keadaan senang.

Sebenarnya saya suka bila situasi seperti sekarang ini berlaku, kerana saya boleh lihat siapa yang betul-betul kawan dengan saya atau sekadar nak untung.

Depan saya semua orang baik, cakap saya sumber inspirasi dan puji saya bagus. Tetapi hakikatnya di belakang saya, menyorok di sebalik media sosial mereka lain.

Dalam masa sama, Jojo turut mendakwa ramai individu bersikap baik di hadapannya namun bercakap perkara berbeza di belakang, sekali gus membuatkan dia lebih berhati-hati dalam mempercayai orang sekeliling.

Dengan kejadian ini boleh kesan siapa orang yang boleh dipercayai, siapa yang tidak boleh dipercayai. Depan-depan semua orang baik, dekat belakang cakap lain.

Juara Remaja Dunia Muay Thai 2022 itu turut menyifatkan masyarakat hari ini sedang berdepan satu ‘penyakit’ apabila hanya hadir ketika seseorang berada di puncak, namun menghilangkan diri sewaktu berdepan masalah.

Sebab itu dalam hantaran saya sebelum ini, saya cakap negara kita melalui satu epidemik, penyakit kurang telur. Bila senang, semua orang ada dengan kita. Semua mengaku kawan.

Tetapi bila sedang susah sikit sahaja, semua hilang. Siapa yang masih sokong, saya boleh nampak dan netizen juga nampak. Kepada yang sokong saya, anda bijak, anda lelaki dan wanita yang sejati.

Terdahulu, kontroversi antara Jojo dan seorang usahawan tercetus selepas atlet muda itu melabel pencuci mulut popular, kunafa, sebagai makanan tidak sihat atau “sampah”.

Kenyataan tersebut dipercayai menyinggung perasaan usahawan terbabit yang kemudian tampil mempertahankan produknya sebelum kedua-dua pihak saling berbalas kenyataan di media sosial sehingga menjadi perhatian netizen.

Sumber: Instagram