Setiap ibu bapa sudah pasti ingin melihat kegembiraan di wajah anak-anak. Di Facebook, seorang lelaki yang dikenali sebagai Azri Walter, berkongsi foto dan kisah mengenai seorang lelaki yang gigih mengangkut teddy bear menggunakan motosikal untuk dibawa pulang dan diberi kepada anaknya.
Jumpa dekat tong sampah
Tadi saya nak pergi ke ofis di Putrajaya. Jalan lengang waktu itu. Saya memandu sambil chill layan angin petang. Waktu nak sampai di lampu isyarat, saya nampak seorang lelaki bawa motor. Saya nampak dia macam ada bawa sesuatu. Saya rapatkan kereta dan saya jenguk. Memang betul. Dia bawa teddy bear besar.
Kebetulan lampu merah. Saya berhenti bersebelahan dengan dia. Saya turunkan tingkap dan tanya “Bang, besar teddy bear tu. Nak bawa ke mana tu?” Dia angkat tunjuk dekat saya. Dia buka pelitup muka dan dia cakap ” Ya bang. Ini saya jumpa waktu kerja tadi. Dekat tempat sampah ada orang buang, saya ambil bang” Saya tanya lagi “Tu nak bawa balik bagi anak ke?” Dia terdiam. Dia pandang teddy bear tu, dia pandang saya. Saya pandang dia.
Tajam renungan dia lalu dia berkata “Ya bang. Anak saya lagi mahu teddy bear. Kelmarin ada nampak di kedai. Tapi harganya mahal sangat. Boleh buat lauk makan keluarga bang. (Sambil ketawa). Ini bear tadi saya jumpa dekat tempat sampah, masih elok. Memang rejeki dia. Nanti saya basuh bersih, saya bagi dia mesti dia suka”. Ya Allah. Sayu bunyinya. Saya tergamam sekejap. Lampu bertukar hijau. Dia angkat tangan dekat saya. Saya cakap dekat dia “Hati-hati bang. Nak hujan ni. Abang memang ayah terbaik”.
Menurut lelaki tersebut, anaknya sudah lama mengingikan teddy bear, namun dia tidak mampu untuk membelinya. Tambahnya, dia tidak menyangka menemui teddy bear di tempat sampah, dan berhasrat untuk mencucinya terlebih dahulu sebelum diberikan kepada anaknya nanti.
Kasih seorang ayah
Sekejap sahaja Tuhan hantarkan saya peringatan. Atas apa jua kepayahan yang sedang kita lalui, ada orang lebih susah dari kita. Begitulah kasihnya seorang ayah. Kita selalu dengar kisah pengorbanan ibu dan para wanita. Namun, usah kita lupa pengorbanan para lelaki. Setiap hari mereka keluar mencari rezeki. Entah hujan, entah panas. Tak siapa yang tahu apa dilalui setiap hari bagi memastikan ada nasi di atas pinggan untuk keluarga.
Lelaki ni memang jenis tak suka sangat bercerita apa yang mereka lalui di luar. Tanggungjawab di bahu yang dipikul bukan mudah. Kadang tu, atas motor tak perasan air mata berlinang. Betul tak? Buat para lelaki, moga terus kuat semangat semuanya. Setiap tanggungjawab ini, ada ganjaran pahala di sisi Tuhan. Mari kita semua bersama-sama terus melawan kerasnya hidup ini. Kita tidak boleh putus asa kerana di belakang kita ada harapan yang perlu dipenuhi. Kalau rasa down, tatap sekejap wajah-wajah insan yang Tuhan amanahkan untuk kita. Nescaya, membara semangat!
Selepas mendengar apa yang diperkatakan lelaki tersebut, Azri mula berasa sebak dan kagum melihat pengorbanan seorang ayah yang begitu mementingkan kegembiraan anak walaupun diri sendiri tidak mampu. Azri turut menitipkan pesanan kepada masyarakat agar mengambil ikhtibar daripada kisah inspirasi tersebut.
Sumber: Azri Walter