
Seorang individu meminta penyanyi, Reedzwann untuk tampil berjumpa dengan keluarganya berhubung kematian adiknya, Allahyarhamah Nuraisyatul Humairah Mohd Radzi yang terkorban dalam kemalangan jalan raya hampir dua tahun lalu.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Masih Trauma & Terngiang-Ngiang Dengan Apa Saya Nampak’ – Reedzwann
Cari Reedzwann

Menerusi hantaran di Threads, kakak kepada arwah yang dikenali sebagai Bella Radzi mendakwa sehingga kini penyanyi tersebut masih belum menghubungi keluarganya atau membalas mesej yang dihantar sejak insiden berkenaan berlaku.
Saya cuma mahu cakap, adik saya sudah hampir dua tahun meninggal dunia. Sampai sekarang keluarga kami masih menunggu Reedzwan untuk menghubungi atau membalas mesej kami, tetapi hingga hari ini tiada sebarang respon.
Saya bukan sengaja mahu memuat naik posting seperti ini atau membuka cerita kepada umum, tetapi sudah hampir dua tahun kami menunggu.
Jika ada sesiapa yang rapat atau selalu bersama Wan, saya harap boleh menasihatinya supaya berjumpa dengan kami.
Menurut Bella, keluarganya tidak berniat untuk mencetuskan pergaduhan atau mencari masalah, sebaliknya hanya mahu berbincang dan mendapatkan penjelasan berkaitan beberapa perkara yang masih terbuku di hati mereka.
Kami bukan mahu bergaduh atau mencari masalah, cuma ada banyak perkara yang kami masih mahu bincangkan dengan dia.
Mungkin ada yang membaca posting ini akan menganggap saya tiba-tiba mahu membuka cerita. Tetapi orang yang tidak berada di tempat saya dan keluarga memang tidak akan memahami apa yang kami lalui selama ini.
Dalam masa sama, Bella turut berharap agar hantaran tersebut dapat melembutkan hati penyanyi berkenaan untuk tampil bertemu keluarganya.
Saya hanya berharap posting ini dapat melembutkan hati Reedzwan untuk berjumpa dengan kami. Jika ada kata-kata saya yang salah atau mengguris hati mana-mana pihak, saya mohon maaf.
Kepada sesiapa yang selalu bersama Wan, saya benar-benar berharap agar kalian dapat menasihatinya.
Terdahulu, pada September 2024, Reedzwann dilaporkan terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Trolak, Tanjung Malim.
Bagaimanapun, dalam kejadian tersebut, rakannya yang juga penumpang hadapan MPV jenis Nissan Serena, Nuraisyatul Humairah Mohd Radzi dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Muallim, Mohd Hasni Mohd Nasir sebelum ini berkata, Reedzwann atau nama sebenarnya Muhammad Khairol Ridhuan Khairol Husni ketika itu dalam perjalanan dari Jelutong, Pulau Pinang menuju ke Puchong, Selangor bersama mangsa.
Sumber: Threads








