
Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim memberikan pandangannya berkenaan isu peperangan di antara Amerika Syarikat dengan Iran yang dijangkakan memberi impak besar terhadap ekonomi.
Artikel Berkaitan: Yusry KRU Seronok Layan ‘Threads’ – ‘Ada Perkongsian Informasi, Ada Juga Yang Toksik’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Mata Lisa Surihani Tak Lekang Tengok Yusry, Netizen Sakan Mengusik – ‘Bila Dapat Kahwin Dengan Crush Sendiri’
Pandangan Yusry
Ketika ditemui OhBulan!, Yusry atau nama lengkapnya Yusry Abdul Halim, 53, berkata, situasi peperangan yang berlaku semestinya merupakan perkara baharu bagi segelintir masyarakat yang tidak pernah berdepan dengan konflik seperti ini termasuk dirinya.
Menurut Yusry, isu minyak yang menjadi perhatian kini pastinya akan memberi kesan terhadap rantaian ekonomi berikutan ia merupakan antara sumber utama dunia bagi sektor pengangkutan.
Apa yang berlaku sekarang ini adalah luar daripada apa yang kita semua pernah rasa.
Saya juga tidak pernah merasa berada dalam keadaan perang.
Saya tidak mengatakan akan tercetusnya perang dunia tetapi ada elemen-elemen yang masih lagi belum selesai sehingga sekarang.
Semasa zaman perang dahulu yang kita dengar orang akan makan ubi kayu, dan sekarang yang berlaku adalah masalah minyak.
Minyak juga adalah sumber untuk segala bahan-bahan lain-lain, malah baja dan bahan makanan pun melibatkan ia juga.
Justeru, sebagai senior dalam bidang seni, pelantun lagu Dekat Padamu ini menasihati rakan-rakan seindustrinya supaya berjimat-cermat dan tidak berlebihan dalam berbelanja.
Pada saya sekarang kalau ada duit simpanan, berjimatlah. Sekarang bukan masa untuk berbelanja.
Macam saya baru balik dari bercuti, tapi kalau saya tahu akan berlaku situasi seperti ini mungkin saya pun tak akan pergi.
Sekarang ini mungkin bukan masa yang sesuai untuk pergi bercuti, buat pinjaman atau beli kereta dan sebagainya. Berjaga-jagalah bukan sahaja untuk anak seni, tapi untuk semua orang.
Yusry berkata demikian ketika ditemui pada majlis Macam-Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment yang berlangsung di ibu kota pada baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, anggota kumpulan KRU ini juga menggesa setiap individu membuat persediaan untuk berdepan dengan ketidakpastian yang mungkin akan berlaku.
Kerajaan buat polisi Bekerja Dari Rumah (BDR). Kita juga mengeluh minyak mahal. Tapi bayangkan suatu hari nanti tiada minyak, bagaimana? Dekat stesen minyak pun tiada lagi minyak, apa yang kita nak buat? Itu lagi masalah besar.
Sebab itu kita kena ambil langkah berjaga-jaga, kita catukan penggunaan minyak dan adanya BDR. Saya harap orang ramai sedar betapa seriusnya perkara ini.
Kalau berlarutan mungkin akan akan memberi kesan kepada kita. Tetapi harapnya tidak, buat masa sekarang berjaga-jagalah.