Berikutan sambutan luar biasa terhadap siri konsert mereka yang berlangsung baru-baru ini, kumpulan legenda KRU terus mengorak langkah dengan memperkenalkan sebuah projek baharu iaitu KRU Café.

Artikel Berkaitan: KRU Menang Anugerah Selepas Lebih 20 Tahun – ‘Sebenarnya Bukan Kami Tetapi Peminat’

Artikel Berkaitan: Pekerja Ajak Tak Jujur, ‘Rembat’ Duit Pelanggan?

Ruang peminat KRU berinteraksi

Idea penubuhan KRU Café tercetus selepas anggota kumpulan itu menyedari sokongan tidak berbelah bahagi yang terus diberikan oleh peminat terhadap karya-karya mereka.

KRU sebelum ini mencatat kejayaan apabila lima konsert utama yang diadakan di Malaysia dan Singapura habis dijual, manakala lagu-lagu mereka kembali mendapat tempat dalam carta penstriman di Spotify dan Shazam.

Bukan itu sahaja, video muzik serta kandungan berkaitan KRU turut mencatat jutaan tontonan di pelbagai platform digital, sekali gus membuktikan pengaruh dan populariti mereka masih kekal relevan dalam industri hiburan tempatan.

Selain itu, melihat kepada kebangkitan semula fenomena tersebut, KRU merasakan sudah tiba masanya untuk menyediakan satu ruang yang membolehkan mereka berinteraksi dengan peminat di luar pentas konsert dan platform penstriman.

Hasil daripada idea itu, lahirlah sebuah restoran bertemakan KRU yang bukan sahaja mengimbau nostalgia peminat setia, malah menjadi medium memperkenalkan perjalanan seni mereka kepada generasi baharu.

Bagi memastikan perancangan ini direalisasikan dengan jayanya, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd yang menguruskan KRU telah dipertanggungjawabkan untuk mengumpulkan rakan strategik yang bersesuaian bagi menjayakan projek tersebut.

Kami semua sangat teruja dengan projek ini sejak hari pertama lagi.

Apa yang paling menarik perhatian kami ialah peluang untuk mengembangkan hubungan KRU dengan para peminat melangkaui muzik kepada satu pengalaman gaya hidup yang lebih imersif.

KRU Café pada akhirnya adalah tentang menghidupkan semula legasi mereka dengan cara yang segar dan menarik, di mana para peminat dapat berhubung dengan muzik, kenangan dan semangat KRU dalam sebuah suasana yang benar-benar baharu.

Menerusi kerjasama tersebut, TMG Ventures Sdn Bhd (TMGV), sebuah kumpulan hospitaliti yang mengendalikan beberapa jenama restoran termasuk The Majapahit, akan bertanggungjawab merangka dan membangunkan keseluruhan konsep makanan serta minuman di KRU Café.

Antara tarikan utama yang bakal diperkenalkan ialah pilihan menu yang menggabungkan cita rasa Asia Tenggara dan hidangan Barat popular.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai sajian premium termasuk makanan panggang dan stik yang disediakan untuk memenuhi pelbagai selera pelanggan.

Berharap dapat jadi platform bakat baru

Dalam masa sama, Babah Ventures Sdn Bhd (BBV) turut menyertai projek berkenaan sebagai rakan strategik bagi aspek operasi dan pengembangan perniagaan. Syarikat itu terkenal menerusi jenama Nasi Padang, Bumbu Babah, yang diasaskan bersama selebriti terkenal, Ajak Shiro.

Dalam tempoh kurang dua tahun, Bumbu Babah berjaya berkembang sehingga hampir 60 cawangan di seluruh negara, sekali gus meletakkan jenama itu antara pemain industri makanan dan minuman yang paling pesat berkembang di Malaysia.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Edry Abdul Halim berkongsi keterujaan mereka terhadap masa depan KRU Café.

Kami sentiasa amat bersyukur atas kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan oleh para peminat sepanjang beberapa dekad ini.

KRU Café merupakan satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan mereka sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama.

Sementara itu, Yusry meluahkan harapan agar KRU Café dapat menjadi platform untuk mencungkil, membimbing dan mengetengahkan bakat-bakat baharu.

Kami juga berharap KRU Café dapat menjadi sebuah platform untuk mencungkil, membimbing dan mengetengahkan bakat-bakat baharu.

Lebih daripada sekadar sebuah tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti.

Dalam pada itu, Datuk Norman akui kagum dengan pencapaian Ajak dan pasukannya menerusi Bumbu Babah yang berjaya membangunkan hampir 60 cawangan dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Kami amat kagum dengan apa yang telah dicapai oleh Ajak dan pasukannya melalui Bumbu Babah.

Membangunkan hampir 60 cawangan dalam tempoh kurang daripada dua tahun merupakan satu pencapaian yang luar biasa.

Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang kami jangkakan, KRU Café mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia.

Manakala bagi Ajak Shiro, Pengasas Babah Ventures, kerjasama bersama KRU disifatkan sebagai peluang yang sukar untuk ditolak.

Apabila Sony Music pertama kali membentangkan projek ini kepada kami, kami bersetuju untuk terlibat sebelum mesyuarat pertama itu pun selesai.

Ia merupakan satu penghormatan yang amat besar buat kami untuk bekerjasama dengan KRU.

Mereka ialah legenda negara dan antara artis muzik paling berpengaruh yang pernah dilahirkan oleh Malaysia.

Kami teruja untuk menggabungkan legasi luar biasa mereka dengan pengalaman kami dalam membangunkan dan mengendalikan jenama-jenama restoran.

Lokasi pertama KRU Café bakal bertempat di Aneka Walk, Shah Alam, sebuah pembangunan berteraskan gaya hidup dan komuniti oleh PKNS yang dirancang sebagai hab tumpuan untuk aktiviti makanan, kebudayaan, hiburan dan pelbagai acara masyarakat.

KRU Café dijangka mula menerima pelanggan pada suku ketiga tahun 2026 dan menawarkan lebih daripada sekadar pengalaman menjamu selera.

Pengunjung boleh menantikan suasana yang menggabungkan muzik, persembahan langsung, elemen nostalgia, aktiviti interaktif untuk peminat serta pelbagai pengalaman menarik yang diinspirasikan daripada perjalanan seni salah satu kumpulan muzik paling berpengaruh di Malaysia.