Pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau mesra disapa PU Riz menggesa masyarakat agar memperkukuhkan pengetahuan agama dan berusaha menjadi individu yang mampu menyebarkan kefahaman Islam kepada orang lain.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Dari Usia 8 Tahun Hingga Remaja, Anak Asnaf Sertai Kelas Quranic Madani PU Riz

Artikel Berkaitan: [VIDEO] PU Riz Ajak Orang Ramai Semarak Cinta Al-Quran Menerusi Quranic Madani Di Bukit Bintang

Fiqh Madani

Menurut PU Riz, setiap usaha untuk membimbing manusia ke arah kebaikan dan mendekatkan mereka kepada Allah SWT akan membawa ganjaran yang berpanjangan, lebih-lebih lagi apabila ilmu yang disampaikan terus diamalkan serta diwarisi oleh generasi seterusnya.

Katanya lagi, perubahan dalam diri seseorang kadangkala bermula daripada contoh teladan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh individu yang menyampaikan ilmu agama.

Kalau satu hari nanti ada antara jemaah yang berubah dan mendapat hidayah asbab kita, itu merupakan nikmat yang sangat besar.

Seseorang yang menunjukkan jalan kepada kebaikan, mengajak manusia kembali kepada Allah dan memahami agama akan terus menerima pahala walaupun selepas dia meninggal dunia.

PU Riz berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran Fakulti Pengajian Haji dan Umrah (FPHU), sebuah institusi yang menyediakan laluan pendidikan khusus dalam bidang haji dan umrah bermula daripada peringkat diploma sehingga ke doktor falsafah (PhD).

Mengulas lanjut, PU Riz menjelaskan bahawa kewujudan fakulti tersebut bertepatan dengan hasrat memperkasa Fiqh Madani, yang menekankan kepentingan memahami agama secara menyeluruh, tersusun dan berasaskan ilmu yang sahih.

Jelasnya, umat Islam perlu mendalami hikmah di sebalik setiap ibadah yang dilakukan, termasuk segala rukun dan amalan berkaitan haji serta umrah, supaya pelaksanaannya bukan sahaja sah dari sudut syarak malah dapat dihayati dengan lebih mendalam.

Bersama tenaga pengajar yang berpengalaman, kita mahu memartabatkan pengajian fiqh haji dan umrah serta ilmu fiqh secara umum.

Dengan sokongan semua pihak, kita berharap dapat mengangkat industri pendidikan agama ke peringkat yang lebih tinggi dan melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Sumber: Instagram