Pelancaran program Quranic Madani yang diterajui pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz, menerima reaksi positif apabila siri pertamanya berjaya dilaksanakan di Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] PU Riz Ajak Orang Ramai Semarak Cinta Al-Quran Menerusi Quranic Madani Di Bukit Bintang

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Kita Perlu Ada Sifat Malu & Tidak Bangga Dengan Perbuatan Maksiat’ – PU Riz

Tingkatkan kemahiran baca al-Quran

Inisiatif yang memfokuskan kepada pembelajaran al-Quran serta tajwid itu menghimpunkan penghuni rumah kebajikan berkenaan, terdiri daripada golongan asnaf dan kurang berkemampuan, dalam usaha meningkatkan kefahaman serta kemahiran membaca al-Quran sejak usia muda.

Menurut PU Riz, usaha ini merupakan satu inisiatif yang baik dan wajar diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.

Alhamdulillah, kita akan mulakan sesi Quranic Madani ataupun sesi pengajaran al-Qur’an dan tajwid di Rumah Titian Kaseh ini.

Bermula dengan anak-anak sekecil 8 tahun sampailah belasan tahun yang ada dalam kelas.

Secara keseluruhan, Alhamdulillah sesi baik.

Semua dapat manfaat.

Bantu asnaf dalam pendidikan

Dalam pada itu, suami kepada selebriti Neelofa itu menjelaskan bahawa pelaksanaan program berkenaan selari dengan inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Agama, khususnya di bawah kepimpinan Dr Zulkifli Hasan.

Tambahnya lagi, usaha tersebut bertujuan membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan menerusi sokongan pendidikan agama serta kebajikan.

Ini juga seiring dengan apa yang dilakukan oleh Kementerian Agama yang menyalurkan bantuan kepada asnaf-asnaf yang juga berada di sini.

Kita ucapkan tahniah.

Dalam masa sama, PU Riz berharap agar Quranic Madani dapat menjadi platform berterusan dalam melahirkan masyarakat yang celik al-Quran serta mampu membacanya dengan baik dan bertajwid.

Alhamdulillah atas usaha ini, semoga semua orang di Kuala Lumpur, di seluruh Malaysia dapat belajar al-Quran dan membaca al-Quran dengan baik.

Allahuakbar.

Sehubungan itu, program Quranic Madani dijangka akan diperluas ke beberapa lokasi lain sebagai inisiatif mendekati masyarakat, sekali gus memastikan pendidikan al-Quran dapat dinikmati oleh semua lapisan tanpa mengira latar belakang.