Lain orang lain mengidamnya ketika mengandung, begitu juga dengan pelakon Eyka Farhana yang mendedahkan dirinya mengidam untuk kembali menjalani penggambaran dan berada di set dalam tempoh hamil.

Artikel Berkaitan: Dari Dua Hati Menjadi Tiga, Eyka Farhana Hamil Anak Pertama

Mengidam shoot

Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Wan Sarmizi, 30, berkata, dia teruja berpeluang bekerja sepanjang tempoh berbadan dua, malah menganggap itu sebagai satu perkara yang menggembirakan buat dirinya.

Kalau orang tanya apa yang paling mengidam masa hamil, saya nak shoot, seronoknya kembali ke set!

Eyka berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran di Instagram Story miliknya, pada Selasa.

Dalam masa sama, Eyka meluahkan rasa syukur apabila anak dalam kandungan seolah-olah memahami kerjaya ibunya sebagai seorang pelakon dan memberikan tenaga luar biasa sepanjang tempoh penggambaran.

Bagusnya anak mama, setakat ini awak berkelakuan baik dan bagi mama tenaga penuh untuk penggambaran.

Mungkin sebab awak mengidam sangat nak tengok mama kembali ke set masa mengandung ini kan?

Alhamdulillah, mama tak penat dan tak mengantuk sangat. Kalau tidak, asyik nak tidur saja kalau duduk di rumah.

Sebelum ini, isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid itu berkongsi khabar gembira apabila mengesahkan dirinya kini sedang hamil.

Bagaimanapun, pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan itu tidak mendedahkan secara terperinci mengenai usia kandungannya kepada umum.

Untuk rekod, Eyka sah bergelar isteri kepada Akhyar Rashid pada 2 Mei 2024 dalam sebuah majlis tertutup.

Sumber: Instagram