Di Melaka, seorang warga emas memberitahu bahawa rumah dan kereta menantunya disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali, pagi tadi. Menurut Md Deris Salleh, dia mengesyaki bahawa kejadian tersebut merupakan perbuatan ah long yang tersalah alamat rumah.
Tidak pernah pinjam atau berhutang
Ujar Md Deris, dia tidak pernah pinjam atau berhutang dengan mana-mana ceti haram sebelum ini. Tambahnya, kejadian tersebut disedari oleh isterinya ketika bangun menyediakan juadah bersahur untuk mereka sekeluarga sekitar jam 4.30 pagi. Sebaik membuka pintu rumah dan lampu luar, isterinya ternampak cahaya merah terang sebelum memberitahu kepadanya.
Apabila menantu saya Mohamad Faizal Mohamad Yusoff, memeriksa dia terkejut mendapati bahagian sisi kanan Proton Persona miliknya disimbah cat merah. Bahagian depan berenda rumah dan kereta Proton Saga anak saya turut terkena cat itu. Selain itu terdapat kertas mengandungi tulisan Cina berserta nombor telefon luar negara atas nama ‘Mikey Keat’ ditinggalkan di pagar rumah.
Seolah beri amaran
Md Deris turut memberitahu bahawa mereka sekeluarga amat terkejut dan bimbang dengan kejadian tersebut. Jelas Md Deris mereka tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa di kampung itu. Anak perempuan Md Deris turut menghubungi nombor telefon yang diberikan dan menghantar WhatsApp bagi memaklumkan individu terbabit tersalah alamat dan meminta ganti rugi, namun tidak berbalas.
Anak saya juga ada menyemak maksud tulisan Cina itu di internet ia bermaksud ‘Kalau x reply saya lagi, saya akan bakar rumah awak jadi arang! Alamat rumah dinyatakan juga bukan rumah saya, mungkin mereka tersilap orang. Apapun kami amat bimbang berlaku sesuatu yang tidak baik apatah lagi cat berwarna merah ini biasanya dikaitkan memberi amaran.
Mengulas lanjut, pesara tentera itu berkata, sebelum kejadian tidak ada apa-apa yang pelik berlaku. Md Deris dan sekeluarga bersyukur mereka tidak diapa-apa oleh si pelaku selain cat merah itu jenis cat kapur dan boleh dibersihkan.
Biasanya jika ada kereta atau motosikal masuk ke kawasan rumah kami ini anak saudara saya akan perasan kerana rumah kami berdekatan antara satu sama lain. Mungkin individu yang menyimbah cat ini meletakkan kenderaan di luar dan berjalan kaki ke rumah saya.
Sumber: Harian Metro