Baru-baru ini menjadi perhatian warganet di TikTok, sebuah video memaparkan pelakon dan penyanyi Naim Daniel dicium oleh beberapa orang pelakon drama Projek: High Council ketika tayangan perdana episod akhir drama tersebut.
Artikel Berkaitan: Naim Daniel Perjelas Isu Babak Merokok Dalam Project: High Council
Artikel Berkaitan: Projek: High Council Ditegur, Terlalu Banyak Adegan Merokok Secara Terbuka & Keterlaluan
Keakraban antara pelakon
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Naim yang memegang watak ‘Ayam’ di dalam drama tersebut menjelaskan bahawa aksi spontan dia bersama mereka bukanlah bermaksud sesuatu yang tidak elok malah perkara tersebut menunjukkan keakraban mereka ketika di set penggambaran.
Kami tak ada segan silu untuk cakap ‘i love you man’, sebab semunya sangat menyokong dan penyanyang. Tapi tak bermaksud kami akan buat benda yang tak betul. Ia samalah dengan istilah ‘bromance’ atau ‘brotherhood’ tu.
Ramai yang mengetahui, Naim punya pembawakan macam budak-budak dan Naim mesra. Jadi saya tak kisah pun nak tunjukkan kasih sayang dekat orang yang baik dengan saya.
Kami semua dah bergelumang dengan suka duka menjayakan drama ini selama 66 hari. Disebabkan rapat punya pasal sampai dekat set pun kalau tak ada babak kami tetap datang sebab nak tengok lakonan masing-masing.
Penerima pengiktirafan Malaysia Book of Record ini menjelaskan bahawa dia tidak boleh menghalang pandangan orang lain dan cara mereka tafsirkan isu ini.
Mungkin ada orang yang datang dengan naratif sendiri, Naim tak boleh nak halang benda yang ingin dijadikan bahan bualan.
Hanya ‘content’ santai
Dalam pada itu, pelakon berusia 26 tahun ini berkata, pada malam tersebut dia dan rakan-rakan pelakon yang lain hanya ingin merakam video sekadar suka-suka.
Mungkin adalah yang nakal sedikit macam Nadhir yang nak cium tu ada jenaka sikit tapi bukannya kita teruskan cium pun, memang tidaklah. Masing-masing bila tengok balik video tu tergelak, jadi saya post sahaja lah.
Pemilik nama sebenar Muhammad Naim Daniel Baharin juga menjelaskan bahawa dia sedar setiap apa sahaja yang dimuat naik di media sosial pasti akan mendapat pelbagai reaksi, malah menurutnya perkara tersebut dapat menggalakkan orang ramai untuk berfikir.
Apa sahaja yang kita post tu boleh mendatangkan perbicaraan dan konteks lain daripada setiap golongan dari pelbagai sudut.
Bila ada yang datang dengan istilah ‘bromance’ ke cium pipi sahabat ke, itu sudah jadi satu perbincangan dan kita dapat galakkan lagi orang untuk berfikir.
Kita juga nak buang stigma dalam kalangan lelaki, dimana benda ini tak ada masalah pun untuk dibuat, asalkan tahu batas tahu hukum dan tahu benda itu tidak memudaratkan sesiapa jadi tiada masalah lah disitu.
Terdahulu, pelantun lagu Mainan ini telah memuat naik sebuah video di akaun TikTok miliknya dicium oleh beberapa barisan pelakon drama tersebut antaranya Nadhir Nasar, Mierul Aiman dan Amir Ahnaf.