Di sebalik perjalanan tiga dekad Spider sebagai antara kumpulan rock paling berpengaruh di Malaysia, tersimpan pelbagai kisah yang tidak pernah diketahui ramai.

Bukan sekadar bertahan dalam industri muzik yang sentiasa berubah, Spider juga melalui detik kehilangan insan tersayang, berdepan cabaran mengekalkan persefahaman dan kini bersedia mengukir sejarah menerusi konsert terbesar sepanjang penubuhan kumpulan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Spider Jaga Hubungan Sesama Anggota, Hampir 3 Dekad Dalam Industri – ‘Kalau Tak Ada Ketelusan Maka Ia Akan Jadi Separuh Jalan’

ARTIKEL BERKAITAN: Tak Perlu Gimik, Konsert ‘Spider Unplugged’ Bikin Peminat Teruja Sampai Panjat Kerusi!

30 tahun bukan sekadar angka

Bagi vokalisnya, Tam atau Rustam Mustafah, usia 30 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi bukti bahawa sebuah kumpulan mampu kekal utuh jika setiap ahlinya saling memahami.

“Orang selalu nampak kami masih bersama selepas 30 tahun, tetapi di sebalik itu banyak perkara yang kami lalui. Kalau ada masalah, kami akan selesaikan secara berdepan. Kami tidak suka simpan dalam hati atau bercakap di belakang.

“Mungkin sebab kami sudah terlalu lama bersama. Kami sudah faham perangai masing-masing. Ada masanya kami beri ruang kerana semua sudah ada keluarga dan komitmen sendiri,” katanya.

Menurut Tam, hubungan mereka tidak hanya terjalin ketika membuat persembahan atau menghasilkan lagu, malah mereka turut meluangkan masa melakukan aktiviti bersama seperti menunggang motosikal.

Katanya, keseimbangan antara persahabatan dan ruang peribadi menjadi antara rahsia Spider terus kekal sehingga hari ini.

“Bila ada masa lapang kami akan keluar bersama. Kadang-kadang kami pergi ‘ride’, kadang-kadang sekadar melepak. Hubungan itu yang kami jaga selama ini,” katanya.

Namun, perjalanan Spider tidak pernah sunyi daripada ujian.

Tam mengakui kehilangan dua anggota penting, Allahyarham Tony dan Allahyarham Napie, meninggalkan kesan yang sukar digambarkan.

“Saya memang rasa terkilan kerana konsert ulang tahun ke-30 ini berlangsung tanpa mereka. Sudah tentu lebih bermakna kalau mereka masih ada bersama kami.

“Tetapi kami percaya perjuangan Spider perlu diteruskan. Sebab itu kami akan mengadakan satu segmen penghormatan khas buat mereka pada malam konsert nanti,” katanya.

Pernah fikir mahu bersara

Walaupun terus menjadi antara kumpulan yang masih mendapat tempat di hati peminat, Tam mengakui mereka juga pernah memikirkan soal persaraan.

Namun, baginya, Spider bukan sekadar sebuah kumpulan muzik.

“Saya selalu berharap Spider boleh terus hidup walaupun suatu hari nanti ada anggota yang tidak lagi mampu meneruskan perjuangan.

“Mungkin impian itu agak sukar kerana peminat pastinya mahu melihat anggota asal. Tetapi saya mahu nama Spider terus hidup untuk generasi akan datang,” katanya.

Tam berkata, selagi masih mempunyai tenaga dan peminat terus memberikan sokongan, mereka akan terus berkarya.

“Ramai yang membesar dengan lagu-lagu Spider. Bila mereka datang ke konsert, sebenarnya mereka datang membawa kenangan hidup mereka sendiri. Itu membuatkan kami rasa kami ada tanggungjawab untuk terus menghiburkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Tam turut mengakui masih berusaha memperbaiki cara berkomunikasi dengan penonton walaupun sudah puluhan tahun berada di atas pentas.

Katanya, dia sering bimbang tersalah memilih kata-kata sehingga boleh disalah tafsir.

“Saya bukan takut membuat persembahan. Saya cuma risau kalau percakapan saya tidak tersusun atau tanpa sengaja menyinggung perasaan orang,” katanya.

Tambah Tam, penyanyi dan komposer legenda, Datuk M. Nasir pernah memberikan nasihat yang masih dipegang sehingga hari ini.

“Abang Nasir pernah beritahu saya, kalau rasa tidak pandai bercakap, lebih baik menyanyi sahaja. Nasihat itu memang saya ingat sampai sekarang.

“Tetapi demi peminat, saya tetap cuba berinteraksi dengan mereka kerana saya mahu mereka rasa lebih dekat dengan Spider,” katanya.

Konsert Spideraya sempena 30 tahun

Sebagai simbolik perjalanan tiga dekad mereka, Spider bakal mengadakan Konsert Spideraya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 26 September depan.

Biarpun mengakui berdebar untuk membuat persembahan di hadapan puluhan ribu penonton buat pertama kali, Tam percaya inilah masa terbaik untuk Spider menghadiahkan sebuah malam yang penuh nostalgia kepada peminat yang setia menemani perjalanan mereka selama 30 tahun.