Korang tahu tak, Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan kini jadi Kampung Angkat MADANI pertama yang diperkenalkan oleh kerajaan?
Program ni adalah inisiatif terbaru Kerajaan di bawah Belanjawan 2024 untuk memastikan kemudahan asas di kawasan kampung diperbaiki dan dipertingkatkan.
Apa itu Program Kampung Angkat MADANI?
Program ni sebenarnya cetusan idea YAB Perdana Menteri sendiri dengan objektif jelas iaitu ingin memastikan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik luar bandar, sistem telekomunikasi dan lain-lain disediakan secara menyeluruh di kampung-kampung yang memerlukan.
Khusus untuk Kampung Batu Papan, kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk pelbagai projek naik taraf sepanjang tahun 2024.
Pemilihan kampung ni bukan secara rawak tetapi Kampung Batu Papan dipilih kerana ia memenuhi kriteria kampung dengan liputan kemudahan bawah 50% atau yang ada kemudahan asas daif dan tidak lengkap. Memang layak dapat perhatian khusus daripada kerajaan.
18 projek fizikal untuk manfaat penduduk
Dengan peruntukan yang diberikan, sebanyak 18 projek fizikal telah dikenal pasti dan dilaksanakan. Antara kerja-kerja yang dilakukan termasuk:
- Pemasangan 34 lampu solar
- Pembaikan dewan dan tabika
- Pembinaan Gelanggang Futsal Terbuka
- Pembaikan ruang riadah dan sukan
- ?keceriaan Gua Madu dan Kolam Ternakan Ikan Air Tawar
- Naik taraf infrastruktur rekreasi dan sosial
Selain tu, ada juga aktiviti gotong-royong keceriaan dan kenduri rakyat yang diadakan untuk merapatkan hubungan komuniti.
Program ini sebenarnya bukan hanya untuk Kampung Batu Papan sahaja. Sebanyak 42 kampung di seluruh Malaysia dipilih untuk program Kampung Angkat MADANI, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM100 juta!
Menurut YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, program ini bertujuan mengurangkan jurang ketidaksamaan antara bandar dan luar bandar. Dalam masa sama, ia juga akan memperkukuh jaringan sosial, memperkasa individu, dan membuka akses kepada peluang pembangunan.
YB Datuk Aaron juga yakin dengan semangat kerjasama antara pelbagai pihak, Kampung Batu Papan dan kampung-kampung lain akan terus maju ke arah masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya saing dan maju.
Majlis Penyerahan Projek baru-baru ni jadi simbol komitmen kerajaan untuk terus memperbaiki infrastruktur dan taraf hidup rakyat. Dalam masa sama, ia turut menyemai semangat kebersamaan antara Kerajaan dan rakyat.
Jadi, mari manfaatkan segala kemudahan yang dah diperbaiki. Harap dengan inisiatif ni, kehidupan penduduk kampung jadi lebih baik dan lebih selesa!