berita

Kampung Girl Bakal Cipta Fenomena Baru

July 9th, 2013 | by Ai
Make-It-Senang

Kampung Girl

Selepas berakhirnya drama popular Sebenarnya Saya Isteri Dia minggu lepas, slot Zehra di TV3 sekali lagi menampilkan drama bersiri yang dipercayai bakal mencipta fenomena luarbiasa.

Drama berjudul Kampung Girl lakonan Akim Ahmad dan Nad Zainal ini mempunyai jalan cerita yang lebih kurang dengan sama dengan kebanyakan drama yang lain namun bila difikirkan semula, cerita seperti inilah yang semakin digemari penonton Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, drama bersiri 13 episod ini merupakan adaptasi dari sebuah novel popular karya Umi Kalsom dan diarahkan oleh Heykal Hanifah.

Kampung Girl menceritakan tentang Ashraf Khairi (Akim Ahmad) yang memberontak apabila ibu bapanya cuba menjodohkan dia dengan sepupunya sendiri, Ainnur Azmi (Nad Zainal).

Ashraf sememangnya tidak menyukai Ainnur sejak dari kecil lagi kerana menganggap sepupunya itu hanyalah seorang gadis kampung yang tidak bekerja dan cuma menghabiskan masa dengan ayam dan itik.

Kampung Girl (6)

Namun hakikatnya, Ainnur merupakan seorang graduan luar negara dan bekerja sebagai guru bahasa Inggeris. Ainnur yang tercabar dengan cacian Ashraf nekad menerima pinangan ibu saudaranya kerana mahu mengajar Ashraf yang sombong dan bongkak itu.

Pada malam pengantin, Ashraf secara tak sengaja mendapat tahu yang Ainnur sebenarnya berpelajaran tinggi. Disebabkan rasa tertipu dan diperbodohkan, Ashraf tidak mempedulikan isterinya itu selama sebulan.

Masalah bertambah rumit apabila Ainnur mengajar di Pulau Pinang dan Ashraf bekerja di Kuala Lumpur. Walaupun Ainnur cuba untuk memikat hati suaminya itu namun ego Ashraf terlalu tinggi untuk menerima kebaikan Ainnur.

Adakah hati Ashraf akan lembut dan boleh menerima Ainnur ataupun rumahtangga mereka tidak dapat diselamatkan? Kalau anda nak tahu apa yang akan terjadi kepada Ashraf dan Ainnur, saksikan Kampung Girl yang akan bersiaran setiap hari Jumaat jam 9 malam dalam slot Zehra di TV3.

SKIP THIS AD ×