Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya di kawasan Chowk, Lucknow.

Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak 11 Tahun Ditahan, Disyaki Bunuh Adik Kandung

Artikel Berkaitan: Wanita 21 Tahun Racun Mangsa Hingga Maut, Guna ChatGPT Rancang Pembunuhan

Kanak-kanak 5 tahun maut didera

Foto: India TV News

Memetik laporan India TV News, tragedi kejam ini terbongkar apabila mayat mangsa, Arnav ditemui dalam keadaan yang sangat mencurigakan.

Hasil bedah siasat mendedahkan badan mangsa dipenuhi dengan 21 kesan kecederaan, termasuk luka lama dan baharu. Punca kematian dipercayai akibat hentakan kuat pada bahagian kepala serta kesan jerutan.

Difahamkan, kanak-kanak malang itu bukan sahaja dipukul dengan kayu sehingga lebam dan patah tulang, malah tubuhnya turut mempunyai kesan terbakar akibat puntung rokok.

Sementara itu, keluarga mangsa termasuk nenek dan bapa saudara Arnav, mendedahkan taktik licik pasangan itu untuk menutup kesan penderaan.

Sepanjang tinggal bersama bapa selepas kematian ibu kandung, Arnav dipaksa memakai baju berlengan panjang dan topi walaupun dalam cuaca panas terik semata-mata untuk menyembunyikan lebam pada tubuhnya.

Lebih menyedihkan, ahli keluarga lain tidak dibenarkan melawat Arnav tanpa pengawasan suspek. Sebaik sahaja bapa kandungnya berjaya mendapat hak penjagaan penuh, penderaan tersebut dilaporkan menjadi semakin teruk sehingga membawa kepada kematian.

Difahamkan, penduduk setempat yang berang bertindak menyerang suspek yang juga seorang peguam sehingga pihak polis bergelut untuk mengawal keadaan.

Walaupun kedua-dua suspek telah ditangkap, komuniti setempat dan penunjuk perasaan terus mendesak agar hukuman mati dijatuhkan sebagai balasan atas kekejaman yang tidak berperikemanusiaan itu.

Sumber: India TV News