berita

Karya Seni Pelajar Malaysia Dipamerkan Di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York

February 22nd, 2024 | by Sya Alkaf
Kini Trending

Pelajar Malaysia berjaya mengharumkan nama negara apabila dipilih untuk mempamerkan karya seni mereka di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

Karya yang dihasilkan untuk kempen HONOR Talents ini telah dipamerkan selama seminggu bermula 8 sehingga 15 Februari yang lalu.

Malaysia antara 28 negara yang terpilih

Melalui pameran tersebut sebanyak 28 pengkarya dari seluruh dunia telah dipilih untuk mempamerkan karya mereka dengan tema “Dragons Soaring Across Four Seas, Welcoming the Lunar New Year Together”

Selari dengan tema tersebut, para peserta menghimpunkan karya seni naga masyarakat Cina yang mengetengahkan budaya, warisan, mercu tanda dan mitos daripada setiap negara terlibat termasuklah Malaysia, China, Hong Kong, Macau, Peru, UAE, United Kingdom, Perancis, Itali, Greece, Singapura dan Mexico.

Pameran yang dianjurkan HONOR bersama Kelab Buku Cina PBB, Global Times dan Central Academy of Fine Arts dengan sokongan Misi Tetap Republik Rakyat China kepada PBB ini bertujuan untuk merangsang pemahaman global tentang China melalui perspektif pengkarya berbakat.

“Terasa seperti mimpi karya kami di ibu pejabat PBB” – Sheng Yue

Dua karya yang dipilih mewakili Malaysia adalah Soaring in The Sky Together: A Memorial of Understanding and Friendship karya Zyed Hamidi Zainal Abidin (Universiti Teknologi MARA) dan karya Hoh Sheng Yue bersama Sheanne Chin Seng Wei (Universiti Tunku Abdul Rahman).

A Memorial of Understanding and Friendship bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dan China – Zyed Hamidi

Year of Dragon: Prosperity at Its Peak, inspirasi daripada Yee Sang, hidangan tradisional masyarakat Cina Malaysia – Sheng Yue dan Sheanne

Kata Sheng Yue, dia melihat peluang ini sebagai sebuah medium yang baik  buat memperkenalkan tradisi Yee Sang ke mata dunia.

“Lebih tinggi Yee Sang diangkat maka lebih banyak kekayaan dan rezeki bakal diperolehi, jadi melalui karya ini kami gambarkan Yee Sang yang diangkat setinggi Menara KL, mercu tanda terkenal Malaysia.

“Terasa seperti mimpi karya kami di ibu pejabat PBB di New York! Kami tak pernah bermimpikan saat ini akan tiba namun bila peluang sudah di depan mata kami langsung melakukannya dengan bersungguh-sungguh!” tambahnya lagi.

Meskipun sedih tidak dapat menyaksikan sendiri pameran tersebut di kota New York, Sheng Yue tetap berasa bangga dan gembira dengan percapaian tersebut.

Bercerita lanjut mengenai percapaian tersebut, Sheng Yue berkata semuanya bermula apabila dia Sheanne dan rakan sekelas mereka, Yeoh Hui Qi memenangi pertandingan HONOR Talents 2022.

Mereka berjaya memenangi kategori Open Designs, Anugerah HONOR Talents Global Design 2022 dan seterusnya terpilih untuk mempersembahkan karya mereka di mata dunia.

HONOR Talents rai bakat belia

HONOR Talents mula diperkenalkan pada 2020 sebagai sebuah platform untuk HONOR meraikan kumpulan belia. 

Acara ini memperjuangkan pemerkasaan belia dengan mencungkil bakat mereka dalam pelbagai bidang lalu menyediakan pentas bagi golongan muda untuk mempamerkan bakat mereka.

Pertandingan HONOR Global Design 2023 di bawah HONOR Talents mencatatkan rekod apabila menerima lebih 12,000 penyertaan. Sejak penganjurannya, pertandingan ini telah menerima lebih 25,000 karya seni dari 40 negara dan rantau serta 240 universiti.

SKIP THIS AD ×