berita

Kejohanan E-Sukan Kampus Semester 3 Dah Bermula, Tawaran Biasiswa RM50k Jadi Rebutan!

June 18th, 2020 | by Wan
Shout Out!

Pencarian pasukan e-sukan institusi pengajian tinggi terbaik di seluruh negara kini kembali bagi semester ketiga Yoodo Kejohanan E-Sukan Kampus (#YoodoKEK) 2020. Tawaran biasiswa berjumlah RM50,000 tajaan Yoodo menanti pemenang!

Yoodo KEK Semester 3 kali ini meneruskan pencarian pasukan terbaik dalam permainan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan memperkenalkan permainan baru Call Of Duty Mobile (CODM) menggantikan permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) pada semester yang lalu.

Sedikit kelainan buat kali ini, #YoodoKEK dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dan para kontinjen institusi pengajian tinggi hanya bertarung dari keselesaan rumah masing-masing. Pada hujung minggu yang lalu, misi pencarian pasukan terbaik telah bermula bagi pusingan zon final utara.

Pertarungan bermula!

Hari pertama pusingan akhir zon utara menyaksikan pertarungan bagi permainan CODM di mana lapan pasukan yang telah melayakkan diri mereka selepas berjaya mara dari pusingan kelayakan dalam talian terdahulu berjuang merebut gelaran juara pusingan zon utara.Pasukan ?Øs dari (Universiti Malaysia Perlis) muncul juara pusingan secara mudah menewaskan pasukan-pasukan lain yang bertanding seperti UPRISING UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris), FakeDoctors (Asian Institute of Medicine, Science and Technology, AIMST University), Hawk Gaming (UiTM Kedah), ios.II (Universiti Malaysia Perlis), MIMET (Univerisity Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology, UniKL MIMET), Alpha (Kampus Permatang Pauh, UiTM Pulau Pinang), dan Bella Ciao (Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang).

Pertarungan bagi permainan MLBB pula berlangsung pada hari kedua, juga menyaksikan lapan pasukan yang telah berjaya dari peringkat pusingan kelayakan dalam talian bertarung bagi

menempa nama sebagai juara pusingan zon utara. PTSB E SPORTS dari (Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah) muncul juara dengan pameran aksi terbaik menewaskan UITM TERBANG (UiTM Sungai Petani), Miracles (Universiti Pendidikan Sultan Idris), Rex E-sport (Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang), Blue Phoniex Esport (Politeknik Balik Pulau), PTSB Corona’ (Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah), Foreseen (Universiti Malaysia Perlis), dan Yak Yak Yeay dari (Univeristi Utara Malaysia).

Grand final 18, 19 Julai

Lima pasukan yang bergelar juara bagi pusingan zon final (utara, selatan, borneo, tengah, dan timur) akan berentap bersama dengan tiga lagi pasukan yang akan dipilih dari pemenang tempat kedua bagi setiap zon final yang bakal bertarung sekali lagi dalam pusingan wildcard.

#YoodoKEK kali ini turut menyaksikan kembalinya gabungan dua pengulas e-sukan tersohor tanahair, Radzi “Ikuto” Rahman dan Adam “Spartanker” Faiz memberikan ulasan mantap mereka untuk kedua-dua permainan CODM dan MLBB. Turut bersama dalam zon final utara bagi CODM selain hos Dhiya Aizat adalah tetamu dan pengulas jemputan FPS Ranger, Kapten Pasukan 21 Hunstmen dan Nazmi Nahar, Pengurus Pasukan Rampage Gaming.

Bagi permainan MLBB pula, Hazril Md Noor, seorang wartawan e-sukan dan Wan Dimashqi, pengulas e-sukan turut berada di studio memberikan analisa mereka bersama dengan hos Dhiya Aizat.

#YoodoKEK akan diteruskan dengan empat lagi pusingan zon final dan satu pusingan grand final yang bakal berlangsung pada 18 dan 19 Julai ini. MyGameOn dan Yoodo bersama-sama menyediakan ‘gelanggang pertempuran’ buat ribuan pelajar kolej dan universiti untuk bertempur dan memenangi hadiah berjumlah RM150,000 (RM50,000 bagi MLBB, RM50,000 bagi CODM dan RM50,000 merupakan biasiswa).

Dicetuskan oleh Yoodo

Jangan lupa untuk menyaksikan siapa pula bakal mewakili zon selatan di pusingan grand final hujung minggu ini, pada 20 dan 21 Jun 2020! Orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut tentang #YoodoKEK menerusi portal www.mygameon.my dan boleh menyaksikan aksi mendebarkan daripada pusingan kelayakan zon di laman Facebook rasmi MyGameOn, saluran YouTube TV3 Malaysia Official atau MyGameOn Malaysia.

#YoodoKEK Semester 3 dicetuskan oleh Yoodo yang dikuasakan oleh Celcom. #YoodoKEK Semester 3 turut diaktifkan Garena dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). #YoodoKEK Semester 3 juga disokong oleh Kitamen, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Esports Malaysia (ESM), Mobile Legends E-Project dan PVP Esports.