Pengacara dan penyanyi, Elly Mazlein mendedahkan keputusan untuk berhijab sepenuhnya hadir secara semula jadi seiring dengan peningkatan ilmu dan kefahamannya mengenai tuntutan agama dalam diri.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Elly Mazlein & Cikgu Azlan ‘Sweet’ Berjalan Tak Lepas Pegang Tangan, Netizen Usik – ‘Kalau Tak Pegang, Takut Merajuk Pula’

Selesa pakai tudung labuh

Elly, 45, berkata, meskipun sering menerima pujian atas penampilannya yang kini lebih sopan dan menutup aurat, dia tidak pernah menganggap dirinya sudah sempurna dalam perjalanan hijrah tersebut.

Alhamdulillah, tak ada apa pun. Bila saya berhijab, memang nak ikut syariah walaupun belum sempurna. Kita cuba dulu mana yang boleh sebab kita masih belajar.

Ilmu ini datang sedikit demi sedikit jadi saya cuba jaga sebaik mungkin. Saya nak pakai apa yang buat saya selesa. Hari ini pun saya selesa bertudung labuh.

Keluar rumah pun pilih tudung labuh sebab itu paling sesuai dengan saya. Terima kasih, kadang-kadang kata-kata itu jadi semangat untuk kita semangat nak jadi muslimah lebih baik.

Tambah pelantun lagu Usah Ditambah Bara Tersimpan itu, pemakaian tudung labuh kini menjadi pilihan utama, bukan sekadar dalam kehidupan harian, malah turut dijadikan syarat dalam setiap kerja yang ditawarkan.

Memang syarat saya. Kalau ada tawaran atau kerja, saya akan beritahu awal ‘stylist’ bahawa tudung mesti labuh menutup dada.

Saya pilih bawal sebab mudah untuk bekerja. Stylist pun saya maklumkan supaya apa jua gaya tetap tutup bahagian sepatutnya.

Setakat ni semua hijab-stylist sangat bagus. Tak ada isu pun tentang tudung labuh akan menutup fesyen sebab saya memang selesa begitu.

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut bersyukur kerana produksi drama dan filem sangat memahami serta memberi ruang untuknya kekal dengan pilihan pakaian yang lebih patuh syariah.

Baru-baru ni shooting pun semuanya okey. Mereka tak ada masalah dengan pemakaian saya. Saya pakailah jenis tudung macam mana pun asalkan labuh, mereka terima. Alhamdulillah, semua dipermudahkan.