Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai kematian seorang pelakon terkenal Thailand iaitu Tangmo Nida dipercayai maut selepas terjatuh dari bot laju di Sungai Chao Phraya.
Artikel Berkaitan: Maut Terjatuh Dari Bot, Mayat Pelakon Terkenal Thailand Ditemui Selepas 38 Jam
Terbaru, ibu Tangmo Nida iaitu Panida Sirayutthayothin meluahkan rasa sangsi dan tidak percaya bahawa kematian anak kesayangannya itu akibat terjatuh secara tidak sengaja dari bot laju seperti yang diwar-warkan.
‘Tak mungkin seorang pun tak sedar’
Memetik laporan Bangkok Post, Tangmo Nida bersama lima rakan termasuk pengurusnya dipercayai telah menaiki bot tersebut untuk menjamu selera. Namun menurut ibu mangsa, apa yang menimbulkan tanda tanya adalah pakaian yang dipakai anak perempuannya pada ketika itu seolah-olah mahu menghadiri ‘photoshoot’ dan bukannya mahu pergi menjamu selera.
Bukan itu sahaja, Panida Sirayutthayothin juga mendakwa kemungkinan ada berlakunya pertengkaran antara anak perempuannya bersama rakannya yang berada di dalam bot berkenaan sehingga membuatkan ada di antara mereka tidak senang dengan kehadiran Tangmo Nida.
Ada beberapa perkara yang membuatkan saya berasa sangsi. Antaranya adalah satu gambar yang menunjukkan anak perempuan saya berada dalam keadaan sedih ketika duduk bersendirian di belakang bot. Tak mungkin tak ada seorang pun yang tidak menyedari dia jatuh.
Terdapat luka pada bahagian paha mangsa
Tidak terhenti di situ, ibu Tangmo Nida juga tidak percaya dengan laporan yang mendakwa anak perempuannya itu duduk di bahagian belakang semata-mata untuk ‘melegakan dirinya’ kerana tandas di dalam bot berkenaan rosak.
Tangmo adalah seorang bintang. Tak dapat dibayangkan, dia pergi ke belakang bot semata-mata untuk itu.
Seorang penumpang bot laju mendakwa ketika kejadian, dia sedang melihat telefon bimbit manakala Tangmo yang berada di belakang bot telah memegang kakinya sebelum tergelincir ke dalam sungai. Sementara pengurus Tangmo mendakwa ketika kejadian berlaku, dia sedang menikmati keindahan sungai.
Dakwa individu ini lagi, Tangmo Nida tidak mahu memakai jaket keselamatan kerana mahu bergambar di atas bot. Salah seorang anggota penyelamat mendakwa terdapat luka yang dalam pada bahagian paha mangsa. Difahamkan, kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan mereka masih menunggu keputusan bedah siasat.
Sumber: Bangkok Post