Semalam, dunia hiburan Thailand digemparkan dengan satu berita kematian seorang pelakon terkenal iaitu Tangmo Nida yang dipercayai maut selepas terjatuh dari bot laju di Sungai Chao Phraya.
Terjatuh dari bot
Memetik laporan Bangkok Post, Tangmo Nida berusia 37 tahun dikatakan menaiki bot tersebut pada Khamis lalu bersama beberapa orang rakan termasuk pembantu peribadinya. Difahamkan mereka semua dalam perjalanan dari Jambatan Krung Thon di Bangkok menuju ke Jambatan Rama VII di Nothaburi.
Ketika dalam perjalanan, pelakon tersebut yang tidak memakai jaket keselamatan telah duduk di bahagian bot paling belakang. Namun malang tidak berbau, Tangmo Nida tiba-tiba tergelincir dari bot berkenaan sebelum terjatuh ke dalam sungai. Menurut sumber, misi pencarian mayat Tangmo Nida berjalan selama dua hari.
Pasukan penyelamat dan penyelam memulakan pencarian namun keadaan agak sukar kerana ketika itu air sungai deras dan cahaya sangat terhad. Selepas 38 jam pencarian, mayat Tangmo Nida berjaya ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasinya terjatuh. Menurut sumber, abang mangsa iaitu Dayos Detjob berusia 44 tahun merupakan individu pertama yang mengesa jasad mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai adik perempuannya itu sebelum memaklumkan kepada pasukan penyelamat.
Saya datang untuk membawanya pulang ke rumah.
Lesen bot sudah tamat tempoh
Menurut pemilik bot iaitu Tanupat Lerttaweewit mendakwa jaket keselamatan memang sudah disediakan namun tiada seorang penumpang pun yang memakainya kerana tidak tahu di mana ia disimpan. Apabila ditanya mengapa lambat melaporkan kepada pihak polis berhubung kejadian tersebut, Tanupat mendakwa ketika itu dia sangat terkejut dengan apa yang berlaku.
Sementara menurut Mejar Jeneral Pol Paisarn, Tanupat Lerttaweewit kemungkinan akan menghadapi pertuduhan menggunakan bot laju dengan lesen tamat tempoh manakala seorang lagi lelaki yang digelar Bert yang menerajui bot ketika Nida terjatuh pula mungkin menghadapi pertuduhan memandu bot tanpa lesen.
Difahamkan, mayat mangsa telah dibawa ke Institusi Pusat Sains Forensik Hospital Universiti Thmamasat untuk bedah siasat tentang punca kematian.
Sumber: Bangkok Post, Thai PBS World