Keracunan makanan berpunca daripada penyediaan makanan atau minuman yang tercemar dengan bakteria atau bahan kimia berbahaya, termasuk dalam penggunaan peralatan memasak yang tidak bersih.

Artikel Berkaitan: Bekam: Terapi Semula Jadi Berasaskan Sunnah & Kesihatan

Artikel Berkaitan: Alami Penyakit Kulit Ayam Pada Tangan & Badan? Kenali Punca & Cara Atasi Keratosis Pilaris

Ganggu fungsi tubuh

Makanan yang tercemar yang terdiri daripada bakteria Salmonella, E. coli, atau Listeria boleh mengganggu fungsi tubuh yang normal dan membawa kepada gejala sistem gastrousus.

Seseorang yang keracunan makanan mengalami beberapa simptom seperti cirit-birit, muntah, sakit perut, loya, demam, sakit kepala, sakit otot serta keletihan.

Dalam keadaan yang lebih serius, cirit-birit dan muntah yang berterusan boleh mengakibatkan kehilangan cecair dalam badan secara berlebihan sehingga menyebabkan dehidrasi.

Kesan yang dialami berbeza-beza bergantung kepada kekuatan sistem imun individu.

Faktor & rawatan

Risiko untuk mengalami keracunan makanan boleh meningkat disebabkan oleh beberapa faktor tertentu antaranya golongan warga emas kerana sistem imun yang semakin lemah.

Selain itu, wanita hamil juga tergolong dalam kumpulan berisiko kerana perubahan hormon, metabolisme dan aliran darah sepanjang kehamilan boleh menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada keracunan makanan.

Bayi dan kanak-kanak turut berisiko tinggi kerana sistem pertahanan badan mereka masih belum matang sepenuhnya dan sedang berkembang.

Di samping itu, individu yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit hati atau AIDS lebih mudah mendapat jangkitan kerana keadaan kesihatan mereka melemahkan fungsi sistem imun badan.

Bagi mereka yang mengalami kes keracunan makanan yang ringan, rawatan biasanya boleh dilakukan di rumah dengan banyak berehat, minum air secukupnya dan mengambil makanan yang mudah dihadam seperti bubur atau sup.

Jika gejala semakin teruk, dapatkan rawatan di hospital, termasuk pemberian cecair dan ubat melalui saluran intravena (IV) untuk menggantikan cecair yang hilang dan mengawal simptom.

Dalam beberapa kes jangkitan bakteria, doktor mungkin memberi antibiotik, namun kebanyakan kes keracunan makanan akan pulih sendiri dalam beberapa hari hingga seminggu.

Sumber: The Asian Parent