Penyanyi Nourul Depp memilih untuk menerima dengan hati terbuka serta menyerahkan segalanya kepada ketentuan ilahi berhubung hubungan dengan anak sulungnya, iaitu Ayu Nazirah, yang dakwanya kurang baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Ada Orang Ketiga Yang Menghasut & Beri Idea Kepada Anak Saya Atas Kepentingan Diri Sendiri’ – Nourul Depp

Artikel Berkaitan: Abang Hidap Kanser Darah, Nourul Depp Mohon Doa – ‘Hilang Kata-Kata, Punah & Pasrah’

Kisah lama

Ketika ditemui OhBulan!, Nourul Depp atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab mengakui isu hubungannya bersama Ayu Nazirah kembali menjadi bualan susulan perkongsian dalam satu sesi podcast baru-baru ini.

Namun begitu, jelasnya, perkongsian tersebut bukan bertujuan untuk memburukkan lagi keadaan.

Sebenarnya, kisah itu sudah lama, lebih kurang empat tahun berlalu.

Saya hanya bercerita semula apa yang terjadi.

Saya bercerita bukan untuk menunjukkan keburukan dia.

Macam mana sekalipun dia tetap anak saya.

Saya biarkan dia berjalan dahulu dan mencari dirinya sendiri.

Dulu pun saya melalui proses mencari diri dan kita ada melakukan kesilapan.

Saya cakap dalam podcast itu sebagai ibu yang memberitahu pada anak-anak yang lain, bahawa ibu tetap ibu walau macam mana pun.

Macam mana awak nak kejar hidup awak, ibu sendiri jangan dilupa.

Saya dibesarkan begitu, menghormati orang tua kita.

Saya sudah berikan semua ajaran pada anak saya dan dia seorang yang pandai.

Nourul berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert For You Nourul yang berlangsung di Suria KLCC pada Selasa.

Berdamai dengan keadaan

Dalam masa sama, pelantun lagu ‘Aku Cinta Aku Rindu’ itu memaklumkan bahawa isu berkaitan Ayu Nazirah tidak memberi impak besar terhadap perjalanan konsertnya, meskipun berdepan beberapa cabaran.

Tambahnya lagi, dia memilih untuk menerima dan berdamai dengan keadaan tersebut.

Perkara itu tidak terlalu mengganggu saya sebab sudah dilepaskan.

Kalau tanya soalan ini pada tahun 2022 atau tahun 2023, mungkin saya sedang rapuh pada waktu itu.

Tetapi, itu juga suatu fasa yang buat saya kenal diri saya.

Saya pilih untuk lupakan sebab saya sayangkan diri saya.

Bukan saya tidak sayang anak, saya sayang dia.

Tetapi, saya harus sayang diri saya juga.

Sebagai ibu dan bapa, kita berkorban untuk anak kita.

Katakan, anak kita sakit, kita berjaga malam dan sebagainya.

Jadi, saya tanya diri sendiri, adakah saya layak untuk terima kekecewaan sebegini?

Kita akan sentiasa ada pergeseran dengan anak kita, tetapi, adakah dihormati oleh anak kita atau tidak?

Dia hendak cari penyelesaian atau tidak.

Tetapi, sekarang saya sudah okay dan tidak fikir.

Sebelum ini, saya pernah hidap kanser dan tidak mahu lagi ada kanser.

Perkara yang memberi tekanan dan stres ini boleh mendatangkan penyakit, jadi saya tak mahu stres lagi.

Mengulas lanjut tentang keputusannya untuk tidak segera menyelesaikan isu berbangkit atau mencari jalan perdamaian, dia menjelaskan enggan mendesak kerana khuatir keadaan akan menjadi lebih buruk.

Ada satu perkara yang kalau kita ‘push’ akan jadi lebih buruk.

Bukan saya seorang ada masalah begini.

Peminat saya pun ada alami perkara sama.

Saya berkumpul bersama mereka untuk cari mana yang perlu diperbaiki.

Saya tentukan kesalahan saya sebab sebagai ibu, kita ada kesalahan.

Kita ada buat salah juga, saya pernah kata buat anak sebagai kawan, itu salah kerana kita perlu ada ‘borderline’.

Jadi, saya hanya tunggu waktu selepas saya usaha sampai suatu tahap saya rasa saya tak boleh ‘push’.

Saya serah kepada Allah sebab percaya Dia dan kita harus berserah kepada Dia.

Saya hanya mampu berdoa dan sabar, waktunya pasti akan datang.

Tuhan ingin berikan kita sesuatu, ada waktunya dan saya harus sabar.

Mungkin ini kedengaran seperti ‘selfish’, tetapi ia adalah suatu bentuk penjagaan diri.

Kita harus jaga hati kita dahulu, kalau minda kita tak stabil, fizikal kita akan sakit.

Itu yang saya belajar.

Jadi, bukan kata saya tidak selesaikan, tetapi saya ‘let go’.

Dalam pada itu, Nourul turut mendedahkan bahawa anaknya ada mengirimkan mesej ucapan sempena Hari Raya baru-baru ini.

Ada saja anak saya hantar mesej ucapkan Selamat Hari Raya pada raya pertama hari itu, tetapi cukup sekadar ucapan sahaja.