berita

Kompaun RM1,000 Dikenakan Terhadap Individu Ingkar PKP Bermula Hari Ini

April 8th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini iaitu 8 April 2020.

Kompaun sebanyak RM1,000

Menerusi laporan yang dipetik daripada Bernama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu sidang media khas berkata pihaknya kini telah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard  (SOP) sebagai rujukan para pegawai dan anggota. Tambahnya lagi, borang kompaun tersebut juga telah diedarkan kepada semua pihak polis di setiap negeri.

Menurut beliau, individu yang telah dikenakan kompaun perlu menjelaskan bayaran dalam tempoh dua minggu dari tarikh ianya dikeluarkan dan segala pembayaran perlu dibuat di Pejabat Kementerian Kesihatan.

Mereka yang ingkar PKP akan dibawa ke balai polis terlebih dahulu sebelum diberikan kompaun dan sekiranya enggan membayar kompaun, mereka boleh meminta untuk dibicarakan.

Lori dan penghantar makanan akan diperiksa

Tambahnya lagi, setiap lori dan penghantar makanan juga akan diperiksa oleh pihak polis di semua sekatan jalan raya memandangkan terdapat kes sebelum ini dimana ada cubaan menyeludup barang terlarang seperti rokok.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menasihati orang ramai agar mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan sentiasa berada di rumah. Kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk membendung penularan wabak Covid-19 ini.

Jumlah RM1,000 ini bukan satu nilai yang kecil, jadi janganlah ambil mudah perkara ini dan bantulah kami untuk putuskan rantaian COVID-19.

Sumber: Bernama

SKIP THIS AD ×