Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa, ramai peniaga-peniaga kecil dan sederhana terjejas dari segi ekonomi mereka. Hampir saban hari mereka bekerja keras untuk terus kuat mencari rezeki buat anak-anak dan keluarga.
Rangkaian Televisyen Media Prima telah memilih tema Salam Sayang untuk mewarnai kempen Ramadan Raya pada tahun ini. Bagi menyemarakkan lagi suasana ini, TV3 telah menyediakan platform Misi Salam Sayang kepada pengusaha kecil mempromosikan produk mereka di laman sosial TV3 Malaysia. Selain itu, mereka juga menjalankan aktiviti khidmat masyarakat yang disertai oleh barisan selebriti di mana mereka akan membeli barangan dan produk daripada vendor yang terpilih dan sebarkan rezeki kepada mereka yang memerlukan. Misi ini turut disertai oleh personaliti TV3 dan barisan pelakon tanah air.
Pengorbanan peniaga-peniaga kecil
Antara personaliti TV3 yang terlibat dalam misi program Salam Sayang ini ialah pengacara Fedtri Yahaya. Personaliti TV3 ini boleh dikatakan sungguh dekat dengan peminat dan sering turun padang menyertai misi kemanusiaan.
Dalam misi Salam Sayang ini, Fedtri Yahaya berkata dia berpeluang untuk melihat sendiri pengorbanan peniaga-peniaga kecil di sekitar Ampang di mana masing-masing bekerja keras untuk terus mencari rezeki.
Mereka tidak biasa berniaga online, mereka hanya berniaga secara tradisional. Jadi, ada yang sangat susah dan terpaksa bekerja. Walaupun pekerjaan itu bergaji rendah. Jadi, makcik-makcik ini terpaksa berniaga juga kalau tidak nanti dia kena buang pekerja.
Pekerja lain pun bergantung harap kepada dia. Sebab itu bila dapat program ini mereka bersyukur dan hasilnya pula dapat disumbangkan kepada sekolah tahfiz, anak yatim lebih bermakna.
Saya terharu melihat perjuangan mereka. Tak buang pekerja sebaliknya kembangkan lagi perniagaan dan berkongsi menu-menu lain. Untuk survival, dia tolong orang.
Fahami apa keperluan mereka
Program Salam Sayang adalah berorentasikan kebajikan, bukan untuk meraih sebarang keuntungan. Malah, program ini bekerjasama dengan pihak NGO dalam memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah tahfiz dan anak yatim. Selain itu, Fedtri Yahaya turut menyarankan agar kita sebagai rakyat Malaysia untuk membantu peniaga-peniaga dengan membeli makanan dari mereka dan disumbangkan ke rumah anak yatim.
Kita kena faham apa keperluan mereka. Kami ke sekolah tahfiz dan mereka mengalami masalah pengangkutan untuk bergerak. Lebih baik kita buat sasaran dan tahu apa yang mereka perlukan.
Di situ dapat kita kembangkan projek. Kita cari apa yang mereka perlukan, bukan apa kita rasa yang mereka nak. Buat kajian dahulu, kita cari dana berpandukan keperluan semasa.
Program Misi Salam Sayang ini telah berlangsung selama tiga hari sejak 19 April hingga 21 April lalu bagi membantu peniaga-peniaga kecil dan pelajar di sekolah tahfiz serta anak-anak yatim. Antara selebriti yang turut serta termasuklah Fedtri Yahaya, Amyza Adnan, Aprena Manrose, Intan Najuwa, Redza Rosli, Fiza Sabjahan, Riena Diana dan Khai Bahar.
Melihat situasi ini, Media Prima Berhad melalui syarikat rakaman Monkey Bone, mengambil peluang menghasilkan sebuah lagu yang dapat menyampaikan perasaan rindu kepada keluarga dan insan-insan tersayang.
Lagu gubahan Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Acap iaitu ‘Salam Sayang’ telah disampaikan dengan baik sekali oleh pasangan ibu dan anak popular, Amyza Aznan dan Adrian.
Nantikan kompilasi video eksklusif 30 minit tentang Misi Salam Sayang yang akan ditayangkan pada hari raya ketiga jam 4.00 petang di TV3.