Pihak penganjur bersama, KH Worldwide dan Star Planet, secara rasmi mengumumkan penjadualan semula Konsert Muzik D.R.A.S. yang kini akan berlangsung pada Sabtu, 31 Oktober 2026.

Artikel Berkaitan: ‘Kami Hilang 2 Sahabat, Tapi Tak Pernah Patah Semangat’ – Spider Dedah Rahsia Utuh Selama 30 Tahun

Tarikh baru

Konsert yang pada asalnya dijadualkan pada 22 Ogos itu turut dipindahkan ke lokasi baharu iaitu Idea Live Arena, Kuala Lumpur bagi menggantikan lokasi asal di UNIFI Arena.

Menurut kenyataan penganjur, keputusan tersebut diambil bagi menyelaraskan faktor luar jangka berkaitan aspek operasi dan logistik siri jelajah artis.

Ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu perayaan muzik Indonesia yang bakal mencetak sejarah tersendiri.

Pihak penganjur menjanjikan sebuah malam yang penuh dengan susunan program khas, kolaborasi dinamik di pentas, serta koreografi memukau demi memastikan peminat pulang dengan memori yang tidak akan dilupakan.

Pemilihan lokasi baharu ini juga bertujuan memberikan pengalaman menonton yang lebih eksklusif dan intim buat peminat untuk berinteraksi dengan empat kumpulan ikonik Indonesia iaitu Dadali, Repvblik, Armada, dan Samsons.

Pihak penganjur menjanjikan sebuah malam penuh sejarah dengan kolaborasi dinamik dan rangkaian lagu-lagu hit seperti Kenangan Terindah, Asal Kau Bahagia, Sandiwara Cinta, dan Disaat Aku Mencintaimu. 

Mengenai status tiket, penganjur mengesahkan bahawa semua tiket yang telah dibeli sebelum ini kekal sah untuk tarikh baharu tersebut. 

Pemegang tiket akan diberikan penetapan tempat duduk baharu secara automatik mengikut kategori asal tanpa perlu melakukan sebarang tindakan susulan.

Bagi peminat yang tidak dapat hadir pada tarikh baharu, permohonan bayaran balik boleh dibuat melalui Ticket2U selewat-lewatnya pada 13 Julai 2026, jam 11.59 malam.

Sementara itu, jualan tiket bagi lokasi baharu akan dibuka semula secara rasmi mulai 15 Julai 2026 pada jam 12.00 tengah hari melalui platform Ticket2U dan Fantopia.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web rasmi starplanet.com.my