Kira-kira 5,000 orang hadir bagi menyaksikan persembahan memukau oleh penyanyi JessC di
konsert Jessie Chung World Tour 2025 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highland pada Selasa lalu.

Artikel Berkaitan: Fauziah Latiff Akui Cerewet Pilih Lagu, Belum Sedia Kembali Aktif – ‘Pada Tahap Sekarang, Saya Perlu Berhati-Hati Memilih’

Artikel Berkaitan: Fauziah Latiff Fokus Jaga Ibu, Hati Belum Terbuka Cari Pasangan – ‘Perkara Lain Nanti Dulu’

Pelbagai bahasa

JessC yang merupakan penyanyi berasal dari Sarawak itu berjaya memukau penonton dengan persembahan ‘showmanship’ penuh bertenaga menerusi 33 buah lagu selama tiga jam persembahan.

Lebih menarik, JessC turut mendendangkan lagu-lagu pada malam tersebut dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan bahasa Melayu. Antara lagu yang dinyanyikan oleh JessC adalah My Style, One Chance, Satu Suara Raya, Dekati, Sinaran, Forever Young dan Expose.

Dalam masa yang sama, JessC turut menyorot perhatian penonton dengan kebolehannya bermain alat muzik seperti piano, keyboard dan gitar.

Segment instrumental itu turut mengetengah lagu-lagu popular antaranya Getaran, Jiwa dan My Way.

Tersentuh dengan sambutan luar biasa oleh para penonton, JessC berkata sokongan yang diberikan amat bermakna dan ia menjadi pemangkin buatnya untuk mencipta karya-karya yang lebih berkualiti pada masa hadapan.

Terima kasih banyak atas sokongan anda malam ini! Kehadiran anda semua benar-benar buatkan saya rasa terharu! 

Tenaga, sorakan dan cinta anda, semuanya amat bermakna buat saya.

Kemunculan istimewa Fauziah Latiff

Sementara itu, kehadiran tiga artis jemputan iaitu Lee An Sheng, Fauziah Latiff dan Lee An Tian sememangnya menggamatkan lagi suasana konsert pada malam berkenaan.

Fauziah pada malam persembahan tersebut mendendangkan lagu duet bersama JessC yang berjudul Tak Terpisah.

Penyanyi berusia 55 tahun itu juga turut menyanyikan dua buah lagu popularnya iaitu Dia dan Sekilas Senyumanmu sekaligus menghangatkan lagi persembahan.

Untuk info, selain bergelar penyanyi, JessC juga merupakan Certified Therapeutic Musician, dengan kelayakan diploma dalam muzik terapi dari United Kingdom dan Sepanyol. 

Penyanyi itu turut memiliki Ijazah Kedoktoran dalam Perubatan Klinikal Integratif Cina dan Barat dari Guangzhou University of Chinese Medicine (China), PhD dalam Sains Kesihatan dari Charisma University, serta merupakan Naturopathic Doctor yang diperakui oleh American Naturopathic Medical Certification Board (ANMCB) di Amerika Syarikat.

Dengan latar belakang perubatan serta kepakaran dalam Naturopatik dan terapi muzik, JessC mendedikasikan dirinya untuk menggunakan muzik sebagai alat pemulihan fizikal, emosi, dan rohani. 

Melalui melodi yang menyembuhkan hati, lirik yang menjernihkan minda, dan vokal yang meniupkan harapan ke dalam jiwa, karya JessC telah menyentuh ramai pendengar yang sedang bergelut dengan penyakit, kemurungan, kebimbangan, dan detik-detik tergelap dalam hidup.