berita

Kontraktor, Subkontraktor Konkrit Jatuh Di SUKE Didenda RM180,000

November 3rd, 2020 | by Zulaikha
Kini Trending

Sebelum ini, seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya dihempap kepingan konkrit pembinaan lebuh raya di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Kejadian ini berlaku pada bulan September yang lepas.

Artikel Berkaitan: Kepingan Konkrit Pembinaan Hempap Kereta, Kerja Pemasangan Dinding SUKE Dihenti Serta Merta

Terbaru, pihak kontraktor yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya itu sudah dikenakan penalti.

Dikenakan penalti

Menerusi laporan Berita Hariankontraktor utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan didenda sebanyak RM180,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak binaan.

Tambahan pula, menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kontraktor utama, MRCB Builders Sdn Bhd dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor iaitu Makna Setia Sdn Bhd dikenakan denda berjumlah RM100,000.

Hasil siasatan CIDB mendapati, subkontrator itu turut tidak mengikut prosedur kerja yang betul dan mempunyai penyelia tapak yang tidak diakreditasikan (mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia).

Kedua-dua kontraktor telah didenda mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), iaitu kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan.

Kejadian kes

Terdahulu, sebuah kepingan konkrit bersaiz satu meter telah terjatuh menghempap kereta jenis Proton Saga BLM yang sedang dipandu seorang wanita yang berusia 25 tahun. Kejadian yang berlaku kira-kira 5.45 petang itu telah menyebabkan wanita tersebut cedera di tangan kirinya.

Wanita itu telah mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber: Mohd Redzuan Abdul Manap Berita Harian

SKIP THIS AD ×