berita

Lapor Jika Nampak Individu Ingkar Arahan Kuarantin, Mereka Boleh Didenda RM1,000 Atau Penjara 6 Bulan!

July 21st, 2020 | by Amat
Kesihatan & Hidup Aktif

Setiap individu yang baru pulang dari luar negara diwajibkan memakai gelang tangan (wristband) sepanjang tempoh pengawasan dan pemerhatian di rumah. Wristband itu adalah bagi mengelakkan orang ramai terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 terutamanya keluarga sendiri.

Artikel berkaitan: Rileks Je Makan Walaupun Sedang Dikuarantin, KKM Cari ‘Makcik’ Ini

Sejak viral foto seorang makcik kelihatan memakai wristband dan keluar makan di sebuah kedai, tindakannya itu telah undang kecaman ramai dan pihak berkuasa dalam siasatan mencari individu degil. Ternyata, perkara itu masih dipandang remeh oleh mereka yang diwajibkan kuarantin di rumah.

Jenis tag wristband

Terdapat dua tag wristband yang berlainan warna disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Wristband yang berwarna merah jambu adalah untuk pesakit positif dewasa manakala putih adalah untuk kanak-kanak. Tetapi ada sesetengah negeri menggunakan warna biru untuk golongan lelaki dewasa.

Tag wristband ini akan dipakai untuk mereka yang positif Covid-19 dan perlu dikuarantin, asingkan diri dari keluarga dan orang tersayang.

Kuarantin 14 hari

Wristband ini akan dipakai sendiri oleh staf kesihatan yang bertugas dan juga akan dibuka oleh mereka setelah memeriksa kesihatan pesakit. Tag ini adalah tidak dibenarkan dibuka sesuka hati atau dikoyakkan.

Pesakit yang memakai tag ini tidak dibenarkan keluar atau berada di kawasan awam selama 14 hari kuarantin sehingga tempoh tersebut tamat. Perkara ini telah diingatkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media sebelum ini. Tempoh kuarantin perlu dijalankan dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan KKM.

Malah, pegawai kesihatan akan membuat tinjauan secara mengejut berjumpa dengan pesakit bagi memeriksa kesihatan. Perkara tersebut adalah bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi arahan kerajaan.

Tindakan akan diambil

Sementara itu, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan individu itu didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Bagi pengembara pulang dari luar negara, saringan gejala dan pengambilan sampel bagi Covid-19 akan dijalankan di pintu masuk antarabangsa.

Pengembara ini akan diberikan beberapa arahan termasuk surat arahan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah. Arahan pemakaian gelang tangan selama tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, borang Home Assessment Tool selain perlu memuat turun aplikasi MySejahtera.

Pastikan tidak berkongsi peralatan peribadi dengan ahli keluarga yang lain. Perlu diingatkan, ahli keluarga bagi individu yang menjalankan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah ini juga memainkan peranan penting dengan sentiasa mengingatkan individu berkenaan mematuhi arahan ditetapkan.

Sekiranya didapati pesakit yang masih dalam tempoh kuarantin kelihatan berkeliaran ke ruang awam, mereka akan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (akta 342).

Perbuatan tersebut adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta 342. Sekiranya disabitkan kesalahan pesalah boleh di dakwa dibawah Seksyen 24 Akta 342 dimana memperuntukkan hukuman denda RM1000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

Sumber: WHO, My Metro, The Star, PQ Community, Kementerian Kesihatan Malaysia

SKIP THIS AD ×