Berlangsung selama 12 jam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Latihan Pestapora Malaysia tampil meriah dengan menghimpunkan barisan penyanyi popular dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus menceriakan suasana festival muzik berkenaan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: Latihan Pestapora Kembali Untuk Edisi Kedua, Hiburan 12 Jam Tanpa Henti!

Artikel Berkaitan: Latihan Pestapora Malaysia 2025 Disambut Meriah, Kehadiran Sheila On 7 Buat Peminat Tenggelam Dalam Kenangan!

Anjuran kedua

Penganjuran buat kali kedua itu tampil dengan lebih bermakna apabila menghimpunkan seramai 19 barisan artis dari kedua-dua negara.

Latihan Pestapora Malaysia yang dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator itu merangkumi pelbagai genre termasuk pop, rock, indie, ska, R&B serta muzik nostalgia yang sememangnya memberikan kenangan indah buat pengunjung yang hadir.

Kemunculan sulung kumpulan Last Child di Malaysia merupakan antara yang ditunggu-tunggu. Kumpulan tersebut mendendangkan beberapa lagu popular mereka antaranya, Duka, Seluruh Nafas Ini dan Sekuat Hatimu.

Selain itu, antara yang menyorot perhatian adalah persembahan daripada gabungan beberapa kolaborasi istimewa iaitu Nadhif Basalamah bersama Aziz Harun dan Aisha Retno, Kugiran Masdo dengan Gerhana Skacinta serta Rhoma Irama Soneta bersama Maliq & D’Essentials.

Bukan itu sahaja, Mahalini dan Tulus juga menjadi perhatian di festival tersebut apabila kedua-duanya meraih pujian ramai dengan lontaran vokal yang memukau.

Latihan Pestapora Malaysia juga diserikan lagi dengan persembahan daripada Tipe-X, Ruffedge, Romantic Echoes, Lah Ahmad, Juicy Luicy, Insomniacks, FUGŌ, Disko Santan & Friends serta Bernadya.

Pentas dibuka dari jam 11 pagi dan meskipun dalam keadaan cuaca panas, namun para peminat dilihat tidak berganjak dari tempat mereka untuk menyaksikan artis-artis kegemaran.

Dalam masa yang sama, pemerhatian OhBulan! mendapati rata-rata peminat hadir dengan fesyen yang pelbagai, disulam dengan warna-warna ceria bertepatan dengan tema konsert iaitu Fruit Frenzy.

Raikan muzik & peminat

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, menyifatkan penganjuran kali kedua festival berkenaan sebagai satu pencapaian bermakna, selain menjadi langkah ke arah mewujudkan sebuah festival serantau yang terus berkembang bersama para artis dan peminat.

Kami amat menghargai sokongan yang diberikan kepada Latihan Pestapora Malaysia. Apa yang paling penting bagi kami adalah melihat bagaimana muzik mampu membawa peminat dari Malaysia dan Indonesia bersama-sama dalam satu pengalaman yang sama.

Kerjasama bersama Boss Creator juga terus memberi ruang kepada kami untuk meneroka lebih banyak idea, kolaborasi serta peluang baharu untuk artis dari kedua-dua negara. Kami berharap hubungan ini akan terus berkembang dan membolehkan kami menghadirkan pengalaman yang lebih baik pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D, melihat setiap edisi yang dianjurkan sebagai peluang untuk pasukannya menambah baik pengalaman di festival, di samping mempelajari perkara baharu sepanjang proses tersebut.

Kami mengambil serius setiap maklum balas yang diberikan selepas edisi pertama terdahulu dan cuba menerapkannya dalam perancangan tahun ini.

Bagi kami, festival bukan hanya mengenai siapa yang berada di atas pentas, tetapi keseluruhan perjalanan peminat sejak mereka tiba sehingga persembahan terakhir tamat.

Sudah tentu masih ada perkara yang boleh kami perbaiki. Setiap komen dan pandangan daripada peminat akan terus menjadi sebahagian daripada proses kami untuk menjadikan Latihan Pestapora Malaysia lebih baik pada edisi akan datang.

Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup, pula berkata penganjuran Latihan Pestapora Malaysia bukan sekadar menerima sambutan positif, malah turut membuka ruang yang lebih luas untuk mengeratkan jaringan antara komuniti muzik di Malaysia dan Indonesia.

Kami sentiasa senang dapat kembali ke Malaysia dan melihat bagaimana peminat di sini menerima artis-artis Indonesia dengan begitu baik.

Pada masa yang sama, Latihan Pestapora juga membuka peluang untuk kami membawa artis Malaysia lebih dekat kepada komuniti muzik Indonesia.

Kolaborasi menjadi salah satu perkara yang kami percaya boleh terus dikembangkan kerana daripada pertemuan inilah sesuatu yang baharu boleh tercipta. Harapan kami adalah untuk terus membina jambatan antara ekosistem muzik Malaysia dan Indonesia melalui Pestapora.