Selepas berhasil mencipta fenomena pada tahun lalu, drama Aku Bukan Ustazah kini hadir dengan sekuel kedua yang sarat emosi pada 10 Mei ini.

Artikel Berkaitan: Drama ‘Aku Bukan Ustazah’ Cipta Sejarah! Tembusi Carta Top 10 Google Trends Rancangan TV 2024

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Drama ‘Aku Bukan Ustazah’ Cipta Fenomena, Keluarga India Turut Terjebak Menonton – ‘Tidak Kira Apa Bangsa Ya’

Bermula minggu ini

Sentuhan pengarah hebat, Idora Abdul Rahman dan diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, drama 35 episod ini bakal membawa penonton menyelami dimensi baharu kehidupan Aminah yang dimainkan oleh Erysha Emyra dalam menyentuh isu kesihatan mental, cinta, dan kekeluargaan yang tidak pernah pudar.

Akui sekuel kedua lebih bermain dengan emosi, Erysha berharap lakonannya dalam mendalami watak Aminah berjaya disampaikan kepada penonton.

Jelasnya, penonton akan melihat sisi lain Aminah dalam menjalani kehidupan yang penuh pancaroba dalam siri kedua ini.

Musim kali ini jauh lebih berat berbanding sebelumnya kerana anda akan melihat sisi Aminah yang penuh cabaran dan ujian.

Penggambaran sangat mencabar kerana banyak adegan yang perlukan saya untuk menangis.

Jadi saya harap penonton dapat rasa setiap yang terpendam dalam diri Aminah dan memahami betapa dalamnya luka yang dia tanggung.

Menerusi sekuel kedua ini, penonton dapat menyaksikan kembali watak-watak yang pernah menjadi bualan penonton selain daripada Aminah iaitu Adam (MK K-Clique) dan Omar (Zahiril Adzim) yang meneruskan kehidupan memahami erti kasih sayang, pengorbanan dan dendam.

Pada kali ini, drama Aku Bukan Ustazah 2 membuka tirai dengan kebahagiaan Aminah dan Adam bersama anak mereka, Raykal, sambil menanti kelahiran cahaya mata kedua.

Bagaimanapun, hidup Aminah dan Adam kembali diuji apabila Omar muncul semula, menghidupkan luka lama yang belum sembuh sepenuhnya.

Adakah kembalinya Omar dengan niat yang tulus, atau terselit agenda jahat di sebalik tutur katanya yang manis?

Seiring perjalanan waktu, Aminah didapati menghadapi tekanan yang bertubi-tubi, hingga terperangkap dalam pergolakan jiwanya sendiri.

Di saat dia hampir rebah, muncul pula seorang Dr. Syafiq (Nabil Aqil), yang hadir sebagai sinar harapan dan berusaha membimbingnya kembali ke jalan pemulihan.

Untuk ketahui lebih lanjut, saksikan perjalanan mereka dalam Aku Bukan Ustazah 2 bermula 10 Mei 2025, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam, hanya di TV3.

Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.