
Seorang lelaki yang mengenakan kostum duyung ketika berada di sebuah gerai air balang di Kota Bharu, Kelantan, telah ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan lanjut.
Artikel Berkaitan: Penculik Tersalah Sasaran, Datuk Umur 85 Tahun Jadi Mangsa Pembunuhan
Artikel Berkaitan: Bangga Minum Air Di Bulan Ramadan Sambil Buat Live, Wanita Muslim 27 Tahun Ditahan
Terima upah RM200 untuk ‘content’

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan lelaki berusia 24 tahun itu mengakui menerima upah sebanyak RM200 untuk menghasilkan ‘content’.
Kata Fadzli, lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Kampung Chetok, Pasir Mas dan dibebaskan dengan bon jaminan sebaik keterangan direkodkan.
Merujuk kepada video yang tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti duyung, kita sudah merekodkan keterangan suspek dan siasatan sudah dibuka.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 19 dan 20 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan kerana berpakaian seperti wanita dan melakukan perbuatan tidak sopan.
Suspek perlu hadir semula pada 8 Jun.
Hasil keterangan, lelaki terbabit dikatakan menerima upah daripada pemilik gerai air balang tersebut sebanyak RM200 untuk membuat ‘content’ bagi tujuan promosi jualan.
Rakaman itu dikatakan dibuat sehari sebelum bulan Ramadan, tetapi hanya dimuat naik di media sosial pada hari pertama Ramadan.
Notis dikeluarkan untuk padam video

Sebelum ini, media melaporkan tular sebuah video memaparkan seorang lelaki berkostum duyung berjoget di hadapan sebuah gerai air balang yang dipercayai terletak di Pengkalan Chepa.
Susulan itu, video berdurasi 26 saat tersebut turut mengundang kecaman warganet yang menyifatkan aksi berkenaan sebagai memalukan, apatah lagi berlaku pada bulan Ramadan.
Dalam rakaman tersebut, lelaki berpakaian wanita itu dilihat berjoget sambil memegang air dan melakukan aksi seperti ikan duyung di gerai air balang berkenaan.
Sehubungan itu, Fadzli menasihati semua peniaga agar tidak melakukan perbuatan sebegitu semata-mata untuk melariskan jualan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah memaklumkan notis telah dikeluarkan kepada peniaga air balang tersebut untuk memadam iklan berkenaan.
Semakan mendapati peniaga tersebut berlesen dan tiada peruntukan undang-undang sedia ada untuk mengenakan kompaun terhadap promosi itu.
Pada masa akan datang, kita akan tambah baik supaya kesalahan sebegini membolehkan kompaun dikenakan.
Peniaga masih dibenarkan berniaga seperti biasa, tetapi gerainya dilaporkan telah ditutup sejak video tular itu.
Sumber: Harian Metro








