berita

Lelaki Dalam Video Viral ‘Dimandikan’ Dipenjara 10 Hari, Dakwa Mencuri Nak Beli Ubat Atuk

January 14th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Lelaki di dalam video viral dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: PU Syed Bangkang Tindakan Jemaah Mandikan Pencuri Seperti Jenazah – ‘Risau Nampak Macam Islam Membenarkan Berbuat Zalim’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kantoi Pecah Tabung Masjid, Jemaah Mandikan Pencuri Seperti Jenazah?

Mengaku bersalah

Sebelum ini, viral di media sosial memaparkan seorang lelaki remaja dimandikan oleh seorang individu yang dipercayai merupakan imam masjid dan situasi tersebut turut disaksikan oleh beberapa jemaah masjid yang lain.

Remaja di dalam video tersebut, Daniel Iskandar, 19 tahun mengaku bersalah cuba mencuri tabung masjid dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu ke dalam bilik mandi jenazah di Masjid Al Islahiah, Rawang, Selangor pada 11.58 malam, 8 Januari lepas.

Menurut laporan, Daniel mengaku dengan bersahaja ketika ditanya jurubahasa mahkamah sama ada dia mengaku salah atau tidak.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan sempat menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung masjid kerana ia perbuatan yang salah.

Tahu apa salah awak? Duit orang bagi untuk masyarakat dan pembangunan masjid, awak curi letak dalam bilik jenazah pula. Harap benda ini jadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak.

Mencuri untuk beli ubat datuk

Peguam Azman Abdullah, yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini kali pertama anak guamnya membuat kesalahan dan dia telah insaf.

Menurut Azman, Daniel mencuri kerana memerlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis.

Anak guam saya memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid. Alasan dia kerana dia perlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis. Dia cuba meminta kepada orang tetapi mereka tidak boleh tolong.

Anak guam saya merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik dan ibu bapanya telah bercerai sejak dia berusia lapan tahun. Dia tinggal bersama datuknya berusia 70-an dan kehidupan mereka bukan senang.

Makan dan minum juga daripada sedekah jiran-jiran.

Azman yang merupakan peguam pro bono (tanpa bayaran atau sukarela) juga berpendapat bahawa tindakan pihak-pihak mengambil video seperti yang tersebar dalam laman sosial adalah tidak wajar kerana telah menyebabkan tekanan kepada tertuduh dan keluarga.

Mahkamah memerintahkan Daniel menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Januari lepas dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sumber: BERNAMA

SKIP THIS AD ×