Semalam, pendakwah selebriti yang didakwa merogol beberapa orang kenalan wanitanya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, untuk permohonan reman oleh pihak polis. Susulan daripada itu, pendakwah tersebut direman selama lima hari sehingga Jumaat ini.
Artikel berkaitan: Ceria Tiba Ke Mahkamah Berbaju Lokap, Dai Syed Bakal Direman Lagi
Terbaru, menerusi laporan Sinar Harian, seorang lagi wanita tampil membuat laporan polis di Shah Alam, berhubung dakwaan kes seksual membabitkan pendakwah selebriti tersebut.
Mendakwa jadi mangsa
Menurut laporan Sinar Harian, seorang jururawat yang berusia 26 tahun itu mendakwa menjadi mangsa pada Disember tahun lalu selepas mula berkenalan dengan suspek pada Mac 2018. Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin, pihaknya telah menerima sembilan laporan polis setakat ini termasuk laporan wanita tersebut.
Kita masih lagi menjalankan siasatan dan akan lihat dari semua sudut dengan mengumpul maklumat berkaitan.
Disoal mengenai modus operandi, Noor Azam memberitahu mangsa mengenali pendakwah tersebut di media sosial sebelum berpura-pura mengajak mangsa keluar makan hingga dibawa pulang ke rumahnya.
Membantu siasatan polis
Terdahulu, pendakwah tersebut direman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis berhubung dua laporan polis dibuat terhadapnya di Petaling Jaya atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks luar tabii.
Ekoran daripada itu, pihak polis Petaling Jaya akan menjalankan siasatan terhadap kes tersebut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul).
Sumber: Sinar Harian