
Kumpulan ramai ahli, koreografi seragam, visual terancang, fan meeting, lightstick dan fandom dengan nama sendiri. Semakin banyak elemen yang dahulu sinonim dengan K-Pop kini boleh dilihat dalam perkembangan muzik pop tempatan atau M-pop.
Kejayaan ALPHA menjadi contoh terbaharu. Hanya sekitar setahun selepas terbentuk menerusi Big Stage Alpha 2025, kumpulan tujuh anggota itu sudah melancarkan album penuh The First Wave, mengumumkan konsert solo pertama dan menurut pihak pengurusan, mengumpul lebih 100 juta penstriman di platform digital. Lagu P Ramlee Saloma mereka turut disenaraikan dalam kategori Best Song Asia Music Awards Japan 2026.
Ia menunjukkan M-Pop memang mempunyai potensi untuk berkembang. Tetapi persoalan seterusnya lebih besar, adakah Malaysia sedang membina industri idol sendiri, atau sekadar menghasilkan artis yang menggunakan formula K-Pop?
Artikel Berkaitan: Dolla Kembali Dengan Single Baharu, Pilih Kolaborasi Bersama Penyanyi Rap Thailand F.Hero
Artikel Berkaitan: Alpha Tak Pernah Gaduh Besar Sepanjang Empat Bulan Bersama, Utamakan Toleransi & Saling Pujuk-Memujuk
Ada Idol, Tapi Ada Tak ‘Idol Economy’?
K-Pop sebenarnya bukan berjaya kerana lagunya sahaja. Di belakang sesebuah kumpulan terdapat keseluruhan rutin termasuklah latihan vokal dan tarian, pembangunan imej, kandungan digital, album fizikal, merchandise, fan meeting, lightstick, kelab peminat, konsert dan pelbagai produk yang membuatkan peminat terus berbelanja serta berinteraksi walaupun ketika artis tidak mengeluarkan lagu baharu.
Di Malaysia, beberapa elemen itu sudah mula wujud. Kumpulan DOLLA, misalnya, mempunyai komuniti iDOLLA yang beroperasi selama enam tahun sebelum pengurusannya diserahkan kepada Universal Music Malaysia pada Februari lalu. Sebelum itu, fan meeting DOLLA turut menawarkan merchandise seperti trading card, photocard holder dan Light Stick V2.
ALPHA pula melancarkan album melalui fan meeting dan kini bersiap untuk konsert solo pertama pada 26 September. Persiapan mereka turut melibatkan latihan vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat, selain latihan nyanyian dan tarian.
Maksudnya, unsur idol economy itu memang sedang terbentuk. Cuma skalanya masih belum boleh dibandingkan dengan Korea.
K-Pop Boleh Jadi Formula, Tapi Jangan Jadi Identiti
Tidak salah M-Pop belajar daripada K-Pop. Korea sudah membuktikan bagaimana pop boleh dijadikan produk budaya yang bukan sahaja menjual lagu, tetapi turut menjual fesyen, tarian, personaliti dan fandom.
Masalah hanya muncul apabila inspirasi terlalu kuat sehingga kumpulan tempatan sentiasa diperkenalkan melalui ayat, ‘macam K-Pop.’
Kalau M-Pop mahu pergi global, ia akhirnya perlu memberikan jawapan kepada satu soalan mudah iaitu apa yang membuatkan orang di luar Malaysia mahu memilih M-Pop apabila K-Pop sendiri sudah menawarkan produk yang sama pada skala jauh lebih besar?
Menariknya, antara lagu ALPHA yang mendapat pengiktirafan serantau bukan judul yang cuba menyembunyikan identiti Malaysia, tetapi P Ramlee Saloma sebuah judul yang terus merujuk dua ikon budaya tempatan. Lagu itu disenaraikan bersama karya dari Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam dalam Best Song Asia Music Awards Japan 2026.
Mungkin itu petunjuk menjadi lebih Malaysia tidak semestinya mengecilkan potensi global.
Tengok Apa Yang Berlaku Dengan P-Pop
Filipina memberikan contoh yang menarik. P-Pop pada awalnya juga sering dibandingkan dengan K-Pop. Tetapi kumpulan seperti SB19, BINI dan ALAMAT semakin membina identiti yang berakar kepada bahasa, budaya dan pengalaman Filipina.
Billboard Philippines menyifatkan P-Pop hari ini sebagai genre yang menggunakan sebahagian model persembahan idol tetapi menggabungkannya dengan OPM, muzik regional dan identiti Filipina.
ALAMAT misalnya menggunakan bahasa tempatan, instrumen dan unsur budaya Filipina dalam muzik dan visual mereka. BINI pula menekankan personaliti yang lebih natural dan dekat dengan budaya tempatan walaupun beroperasi dalam sistem kumpulan idol.
Pelajarannya bukan Malaysia perlu meniru P-Pop pula. Tetapi industri boleh meminjam sistem tanpa perlu meminjam identiti.
Malaysia Sebenarnya Ada Banyak Bahan Untuk Dijual
Kalau mahu mencari identiti sendiri, M-Pop mempunyai kelebihan yang cukup besar. Malaysia mempunyai Bahasa Melayu, dialek serantau, budaya Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak serta hubungan muzik yang kuat dengan dunia Nusantara.
Kita juga mempunyai katalog pop lama, muzik tradisional dan sejarah seni yang boleh diterjemahkan ke dalam produk pop moden.
Mungkin M-Pop tidak perlu terdengar kurang Malaysia untuk menjadi lebih antarabangsa. Sebaliknya, elemen yang orang luar tidak boleh dapat daripada K-Pop itulah yang boleh menjadi kekuatannya.
Lagu seperti P Ramlee Saloma sekurang-kurangnya menunjukkan unsur tempatan boleh dibawa dalam presentation pop kontemporari tanpa perlu menjadikannya muzik tradisional sepenuhnya.
Tapi Lagu Bagus Saja Belum Cukup
Pada masa sama, identiti sahaja tidak akan membina sebuah industri. Untuk melahirkan lebih banyak kumpulan yang mampu bertahan, Malaysia memerlukan ekosistem yang konsisten.
Ada latihan. Ada label yang sanggup melabur beberapa tahun. Ada ruang persembahan. Ada media yang memberi exposure. Ada fandom yang boleh dibangunkan. Dan paling penting, ada lebih daripada satu atau dua kumpulan yang berjaya pada sesuatu masa.
Pablo daripada SB19 pernah membuat pemerhatian menarik mengenai perkembangan P-Pop. Menurutnya, salah satu kekuatan besar K-Pop ialah support system, bukan artis semata-mata, tetapi program televisyen, variety show, komuniti tarian dan platform lain yang semuanya membantu industri berkembang bersama-sama.
Perkara yang sama mungkin menjadi cabaran sebenar M-Pop. Malaysia mungkin sudah mempunyai idol. Tetapi untuk mempunyai idol economy, kita perlukan industri di sekeliling idol itu.
M-Pop Tak Perlu Menjadi ‘K-Pop Killer’
Mungkin sasaran M-Pop juga tidak perlu terlalu cepat menjadi ‘K-Pop Malaysia’ atau cuba menandingi Korea. K-Pop sendiri mengambil masa puluhan tahun membina sistem yang wujud hari ini.
Apa yang lebih penting ialah memastikan M-Pop mempunyai sebab untuk wujud sebagai kategori tersendiri. ALPHA mempunyai momentum. DOLLA sudah membuktikan kumpulan pop Malaysia boleh membina fandom, lightstick dan fan culture.
Kumpulan seperti De Fam pula menunjukkan girl group tempatan boleh mempunyai identiti muzik berbeza tanpa perlu berada dalam acuan sama. Malah Azira Syafinaz sendiri pernah menolak perbandingan De Fam dan DOLLA kerana kedua-duanya membawa genre serta identiti berbeza.
Jadi mungkin langkah seterusnya bukan menghasilkan semakin banyak kumpulan yang nampak seperti idol Korea. Sebaliknya, bina sistem sebaik K-Pop tetapi isi sistem itu dengan sesuatu yang benar-benar milik Malaysia.
Kerana untuk menarik perhatian dunia, M-Pop tidak perlu membuktikan Malaysia juga boleh menghasilkan K-Pop. M-Pop perlu membuktikan Malaysia mempunyai sesuatu yang K-Pop sendiri tidak boleh hasilkan.
Sumber: Malay Mail, Music Awards Japan 2026, Gempak, Billboard Philippines








