Majlis perkahwinan penyanyi dan pelakon, Didi Astillah bersama pilihan hatinya, Diniey Ng bukan sekadar mencuri perhatian kerana keindahannya, malah dipuji kerana berlangsung dalam suasana tenang, elegan dan cukup tersusun.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Didi Astillah Kongsi Detik Pertemuan Dengan Suami, Kenal Dalam ‘Live’ Instagram – ‘Waktu Itu Dia Di Korea’

Artikel Berkaitan: Nikah Di Hari Asyura, Didi Astillah Kini Sah Isteri Diniey Ng

Tema & konsep

Mengangkat konsep dua musim dalam satu cinta, perjalanan hari bahagia pasangan itu dimulakan menerusi majlis akad nikah bertemakan From Summer’s First Light yang diserikan dengan rona putih lembut dan elemen segar sebagai simbolik permulaan kehidupan baharu suami isteri.

Pada sebelah malam pula, suasana bertukar lebih romantis menerusi majlis resepsi bertemakan We Fall in Love yang diinspirasikan daripada keindahan musim luruh, melambangkan cinta yang semakin matang dan berkembang seiring perjalanan rumah tangga.

Di sebalik kemeriahan dua majlis yang tular di media sosial itu, terdapat sebuah pasukan yang bekerja keras memastikan setiap detik berjalan lancar. Tanggungjawab tersebut dipikul oleh Ryns Avenue Group, syarikat perancang acara yang diketuai oleh Cammy Zuhairi.

Menurut Cammy, sesebuah majlis bukan hanya dinilai menerusi dekorasi yang memukau, sebaliknya pengalaman pengantin dan keluarga sepanjang hari istimewa itu menjadi keutamaan.

Bagi saya, dekorasi cantik memang penting, tetapi pengalaman pengantin dan keluarga sepanjang majlis itu jauh lebih penting. Mereka datang untuk meraikan hari bahagia, jadi tugas kami adalah memastikan semuanya terasa lancar, tersusun dan tidak membebankan mereka.

Apa yang menjadikan projek ini lebih bermakna buat Cammy ialah kepercayaan besar yang diberikan keluarga Didi dalam tempoh persiapan yang cukup singkat.

Saya diberi kepercayaan oleh Didi, Bella dan keluarga untuk menjayakan majlis ini dalam tempoh kurang daripada tiga minggu, sewaktu kami bertemu di Jepun awal Mei dan pengesahan majlis pada awal Jun lalu.

Keluarga Didi menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Cammy dan pasukannya untuk menguruskan pelbagai aspek penting termasuk pemilihan lokasi, konsep dekorasi, penyelarasan vendor, perjalanan majlis, pergerakan pengantin sehingga kepada kejutan istimewa yang menampilkan penyanyi popular, Anuar Zain.

Tekanan sebalik tabir

Walaupun tetamu hanya menyaksikan sebuah majlis yang indah, hakikatnya terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani di belakang tabir. Antaranya ialah kelewatan ketibaan tok kadi, selain cuaca yang semakin panas menjelang waktu akad nikah.

Bagi majlis yang berlangsung di kawasan taman terbuka Cyberview Resort & Spa, situasi tersebut berpotensi mengganggu keseluruhan jadual, keselesaan tetamu serta emosi kedua-dua keluarga. Namun, Cammy memilih untuk mengendalikan situasi itu dengan tenang.

Ramai yang risau tok kadi lambat dan cuaca semakin panas. Saya cuma tenangkan mereka dan kata cuaca panas masih boleh diurus.

Yang penting perjalanan majlis berjalan seperti dirancang. Kalau hujan, cabarannya jauh lebih besar kerana melibatkan pergerakan tetamu, dekorasi serta keseluruhan operasi majlis. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Tanpa mencetuskan suasana panik, pasukan Ryns Avenue Group memastikan keluarga pengantin kekal selesa sementara perjalanan majlis diteruskan mengikut perancangan.

Dalam majlis pernikahan, setiap minit itu penting. Bila berlaku kelewatan, kita tak boleh terus panik sebab nanti semua orang akan rasa tekanan itu.

Jadi tugas kami adalah memastikan keadaan kekal tenang, perjalanan majlis tetap dijaga dan pengantin tidak terganggu dengan apa yang berlaku di belakang tabir.

Sebagai perancang acara, kena tenang walaupun dalam kepala sebenarnya sedang fikir banyak perkara. Tetamu tak perlu nampak tekanan itu, pengantin tak patut rasa. Biar kami yang uruskan di belakang, yang penting majlis di depan mata mereka tetap indah dan berjalan baik.

Bagi Cammy, tugas seorang perancang acara jauh melangkaui pelamin yang indah atau dekorasi yang mempesona. Sebaliknya, perlu pantas membuat keputusan, memahami emosi keluarga, menyelesaikan pelbagai situasi tidak dijangka dan memastikan setiap detik penting berlangsung tanpa gangguan.

Majlis pernikahan dan resepsi Didi serta Diniey akhirnya bukan sahaja meninggalkan memori indah buat pasangan itu, malah membuktikan bahawa sebuah majlis yang kelihatan sempurna di hadapan tetamu sebenarnya dibina hasil perancangan rapi, kerjasama kukuh dan komitmen tinggi daripada pasukan di belakang tabir.