Pelakon dan penyanyi, Didi Astillah tidak menyangka sesi siaran langsung di Instagram yang dilakukan secara spontan pada tahun 2020 menjadi titik permulaan perkenalannya dengan suami, Diniey Ng.

Artikel Berkaitan: Nikah Di Hari Asyura, Didi Astillah Kini Sah Isteri Diniey Ng

Detik perkenalan

Didi atau nama penuhnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 30, berkata, ketika itu dia hanya berniat memilih seorang pengikut wanita untuk menyertainya dalam sesi siaran langsung tersebut.

Menurutnya, selepas pertemuan secara maya itu, mereka kemudian mula saling mengikuti di Instagram sebelum hubungan tersebut menjadi lebih rapat.

Detik awal perkenalan kami bermula ketika saya buat siaran langsung di Instagram pada tahun 2020. Masa itu saya saja nak pilih salah seorang pengikut untuk sertai live bersama saya.

Saya pilih dia sebab ingatkan perempuan. Nama dia Diniey, jadi saya memang sangka dia wanita kerana ketika itu saya memang nak bersembang dengan pengikut perempuan.

Tapi bila saya tekan ‘approve’, rupanya lelaki. Masa itu juga dia beritahu dia berada di Korea Selatan. Pada mulanya saya tak percaya, tapi memang betul dia sedang di sana.

Kami mula berhubung, saling mengenali dan akhirnya menjadi semakin rapat. Selepas dua tahun, dia pulang ke Malaysia dan ketika itulah hubungan kami menjadi lebih serius sehingga membawa kepada perkahwinan.

Didi berkongsi perkara itu ketika ditemui sejurus selesai majlis pernikahannya yang berlangsung di Cyberjaya, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Didi meluahkan rasa syukur majlis pernikahannya berjalan lancar dan berharap orang ramai mendoakan rumah tangga yang baru dibinanya kekal bahagia serta diberkati.

Doakan saya dapat menjadi isteri yang solehah. Ini adalah permulaan baharu dalam kehidupan saya. Saya masih dalam proses belajar dan menyesuaikan diri dengan fasa sebagai seorang isteri.

Bersyukur juga segalanya dipermudahkan, terima kasih yang banyak membantu terutama keluarga.

Sementara itu, Diniey yang turut memanjatkan rasa syukur mendedahkan dia memang memasang impian untuk menamatkan zaman bujang sebelum mencecah usia 30 tahun.

Saya memang merancang untuk berkahwin sebelum umur 30 tahun. Alhamdulillah, Allah permudahkan niat yang baik ini. Saya pun muda sedikit daripada Didi.

Insya-Allah, dalam fasa perkahwinan ini saya akan berusaha menjadi suami yang terbaik buat Didi. Apabila dikurniakan zuriat nanti, saya juga mahu menjadi seorang bapa yang terbaik untuk anak-anak kami.

Terdahulu, Didi dan Diniey selamat diijabkabulkan dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat di Cyberjaya pada Jumaat.

Didi menerima mas kahwin berjumlah RM300 dan dulang hantaran lima berbalas tujuh kepada pihak pengantin lelaki.