
Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian hidangan yang memikat selera, sekali gus menjadi tarikan utama pelancong luar untuk merasai keunikan rasanya. Antaranya termasuk dua menu ikonik iaitu minuman teh tarik dan kuih tradisional onde-onde.
Artikel Berkaitan: Bidang Pengajian Yang ‘High Demand’ Di Malaysia
Makanan ikonik di pentas global

Menariknya, kedua-dua hidangan ini kini mencuri perhatian di pentas permainan antarabangsa apabila dipilih sebagai item kosmetik dalam sebuah permainan global yang dilokalkan secara eksklusif iaitu CookieRun: OvenSmash.
Dibangunkan oleh studio permainan Korea terkemuka iaitu Devsisters, francais CookieRun telah mencuri hati pemain di seluruh dunia sejak penampilan sulungnya pada tahun 2009 menerusi karakter biskut (cookies) yang comel.
Sehingga kini, francais tersebut berjaya mengumpul lebih 300 juta pengguna di seluruh dunia, selain pernah bekerjasama dengan nama besar antarabangsa seperti kumpulan K-pop terkenal BTS, filem muzikal popular Wicked, serta fenomena global K-pop Demon Hunters.
Sejak pelancarannya pada Mac lalu, permainan ini terus mencetuskan fenomena apabila melepasi satu juta muat turun dalam tempoh tiga hari, selain berjaya menduduki tangga tertinggi carta muat turun di Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Meneruskan momentum kejayaan tersebut, permainan ini kini secara rasmi dilancarkan di Asia Tenggara, Taiwan, Hong Kong dan Macau bermula 23 April ini dengan muat turun percuma disediakan kepada pemain.
Bagi meraikan pelancaran serantau ini, pihak pembangun memperkenalkan item kosmetik yang dilokalkan secara eksklusif mengikut pasaran.
Sejuta muat turun

Menariknya, teh tarik dan onde-onde dari Malaysia dan Singapura menjadi antara tarikan utama, sekali gus membangkitkan keterujaan dalam kalangan pemain tempatan.
Kosmetik teh tarik menampilkan gaya pembungkusan ikat tepi yang sinonim dengan rakyat Malaysia, lengkap dengan tali pengikat berwarna yang menyerlahkan identiti minuman jalanan popular ini.
Sementara itu, kosmetik onde-onde pula diinspirasikan daripada daun pandan dan inti gula Melaka yang diterjemahkan secara kreatif sebagai aksesori comel dalam permainan, sekali gus membawa sentuhan budaya Asia Tenggara ke dalam dunia maya.
Sejak pra-pendaftaran dibuka pada Mac lalu, CookieRun: OvenSmash telah mencatatkan lebih satu juta pendaftaran di seluruh Asia Tenggara, Taiwan, Hong Kong dan Macau.
Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan pemain, pihak pembangun turut mengumumkan bahawa item kosmetik bertemakan teh tarik akan diberikan secara percuma dalam permainan, membolehkan semua pemain menikmati elemen tempatan ini tanpa sebarang kos.
Kini tersedia untuk dimuat turun secara percuma di Malaysia dan Singapura, pemain boleh menyertai aksi pertempuran berbilang pemain yang penuh mendebarkan bersama komuniti serantau.








