
Filem berunsur kemanusiaan The Voice of Hind Rajab terus melakar kejayaan tersendiri di peringkat antarabangsa.
Artikel Berkaitan: Hazwani Helmi Kecewa Tak Ramai Sokong Filem ‘The Voice of Hind Rajab’ – ‘Penduduk Muslim Di Sini Ada 29.1 Juta’
Artikel Berkaitan: ‘The Voice Of Hind Rajab’ Berjaya Raih 39,000 Penonton Di Seluruh Malaysia & Brunei
Lebih 60,000 tiket terjual di seluruh negara
Malaysia kini berada di tangga ketiga dunia dari segi jumlah tontonan tertinggi, hanya di belakang Perancis dan Itali, malah mengatasi negara seperti Belgium dan Sepanyol.
Dalam tempoh 21 hari tayangan, naskhah ini mencatat lebih 60,000 tiket terjual di seluruh negara, sekali gus membuktikan sambutan luar biasa penonton tempatan yang digerakkan menerusi inisiatif Gerakan Suara Malaysia.
Filem ini ditayangkan di 47 pawagam seluruh Malaysia, dan jumlah kehadiran penonton menunjukkan peningkatan yang berterusan dari hari ke hari.
Pencapaian ini dijangka akan terus melonjak selari dengan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap isu kemanusiaan global, selain sokongan berpanjangan terhadap karya yang sarat dengan nilai empati, solidariti dan keprihatinan sejagat.
Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat reputasi filem tersebut di peringkat antarabangsa, malah mencerminkan keterbukaan penonton dari Malaysia dalam menghargai filem berunsur mesej mendalam dan berimpak besar.
Dokumentasi sejarah & suara kemanusiaan
Filem The Voice of Hind Rajab diterbitkan oleh Mime Films bersama Tanit Films, manakala Primeworks Studios berperanan sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi di Malaysia.
Filem ini diarahkan oleh pengarah tersohor dari Tunisia, Kaouther Ben Hania, yang dikenali dengan gaya penceritaan berani serta sentuhan emosi yang kuat.
Barisan pelakon antarabangsa seperti Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury turut menyerlah menerusi lakonan penuh kejujuran dan emosi, sekali gus menghidupkan kisah ini dengan begitu berkesan.
Ianya lebih daripada sekadar sebuah filem, The Voice of Hind Rajab hadir sebagai satu dokumentasi sejarah dan suara kemanusiaan yang tidak akan dilupakan.
Diadaptasi daripada kisah benar yang menyayat hati, filem ini mengajak penonton menelusuri makna kehilangan, penderitaan dan sinar harapan dalam keadaan paling getir.
Sebagai tanda solidariti, Media Prima turut menyumbangkan RM1.00 daripada bahagian hasil mereka bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, menjadikan setiap tontonan satu bentuk sokongan nyata terhadap perjuangan kemanusiaan.
Saksikan sendiri kisah benar yang menyentuh emosi ini di minggu-minggu terakhir tayangan dan teruskan menjadi sebahagian daripada Gerakan Suara Malaysia.